Home Nasional Polis kenal pasti suspek insiden cubaan bunuh di Menglembu

Polis kenal pasti suspek insiden cubaan bunuh di Menglembu

Datuk Hasnan Hassan

IPOH – Polis telah mengenal pasti semua suspek yang terlibat dalam satu pergaduhan yang membawa kepada cubaan membunuh menggunakan senjata api di Menglembu pada Ahad lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata dalam insiden kira-kira 8 malam itu, seorang suspek lelaki telah melepaskan satu tembakan ke arah tiga orang individu.

Katanya insiden itu berpunca daripada pertengkaran antara dua kumpulan semasa menonton perlawanan bola sepak di Padang Ipoh kira-kira pukul 4 petang hari yang sama.

“Pada jam 6.30 petang, suspek telah menelefon salah seorang mangsa untuk berbincang, namun gagal dan perkara itu menjadi hangat.

“Suspek kemudian telah melepaskan enam das tembakan ke arah tiga mangsa dan ia mengenai ketiga-tiga mereka pada bahagian lengan serta perut. Pistol yang digunakan dipercayai jenis revolver,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hasnan berkata ketiga-tiga mangsa yang berumur antara 21 hingga 29 tahun serta berasal dari sini kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Katanya sejurus selepas kejadian polis telah melancarkan operasi sebelum berjaya menangkap empat orang suspek berumur antara 21 hingga 35 tahun sekitar Ipoh dan semuanya berasal dari Batu Gajah.

Menurut Hasnan siasatan polis mendapati mangsa adalah dari Geng 08, manakala suspek dari Geng 21 dan kes disiasat di bawah Seksye 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39 Akta Senjata Api 1967.

— BERNAMA