KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga emas yang syaki mendera seorang kanak-kanak kurang upaya (OKU) sehingga menyebabkan kematian akan didakwa di Mahkamah Selayang pada Khamis ini.
Sumber berkata, suspek utama warga asing berusia 55 tahun itu akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh di Mahkamah Selayang.
“Kita telah merujuk kertas siasatan kes berkenaan yang dilengkapkan kepada Timbalan Pendakwaraya (TPR) pada 13 Januari lalu untuk tindakan lanjut proses pendakwaan di mahkamah.
“Pagi tadi polis Gombak sudah mendapat kelulusan untuk menuduh suspek utama itu di Mahkamah Majistret Selayang pada 21 Januari ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Pada 6 Januari lalu, MalaysiaGazette melaporkan Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, seorang kanak-kanak berstatus OKU berusia lima tahun 11 bulan meninggal dunia di kediamannya di Kampung Sungai Chin Chin, Gombak 30 Disember lalu.
Laporan bedah siasat pada 1 Januari lalu di Hospital Kuala Lumpur mendedahkan kematian mangsa berpunca dari force trauma akibat usus perut pecah.
Berikutan itu, polis mendapati wujudnya unsur jenayah dan mengklasifikasikan kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Wanita tersebut yang merupakan nenek saudara mangsa telah ditahan bersama lima lagi ahli keluarganya untuk membantu siasatan polis dan direman selama tujuh hari.
Siasatan lanjut polis juga mendapati pelbagai objek dan rotan disyaki digunakan oleh nenek saudaranya mangsa untuk mendera kana-kanak tersebut setiap kali mangsa buang air besar.
Ujarnya, terdapat kesan calar di badan dan kepala mangsa selain kesan cucukan ubat nyamuk di badan selain suspek disyaki dipijak dan disepak perutnya yang mengakibatkan usus pecah.-MalaysiaGazette
Kanak-kanak OKU mati dipercayai dipijak, ditendang nenek saudara