Home Nasional Muhyiddin pantau Hospital Integrasi MAEPS

Muhyiddin pantau Hospital Integrasi MAEPS

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri petang tadi meninjau perkembangan terkini di Hospital Integrasi Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tiba jam 5.30 petang dilihat meninjau sekitar wad di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) 2.0.

Beliau ditemani Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi sesi taklimat sebelum lawatan bermula.

Pada lawatan yang berlangsung kira-kira sejam itu, Muhyiddin turut melawat Negative Pressure Tent yang menyediakan perkhidmatan Unit Rawatan Rapi (ICU) yang terletak bersebelahan Dewan B, PKRC 2.0.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu memberi isyarat ketika meninjau Dewan D bagi memberi semangat kepada para pesakit Covid-19.

Hospital Integrasi MAEPS yang diwujudkan di Dewan B mempunyai kapasiti 30 katil pesakit kritikal, manakala 1,040 buah katil pesakit kategori satu dan dua di kawasan sekelilingnya.

Hospital itu turut dilengkapi dengan peralatan ICU, pakar penyakit berjangkit serta pakar bius.

Kemudahan tersebut dijangka mula beroperasi pada 24 Januari ini bagi merawat pesakit kategori tiga dan empat. – MalaysiaGazette