BANGI – Disebabkan sambutan yang tidak menggalakkan dalam pendaftaran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam Enforcement Card atau E-Kad, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, beliau akan membawa isu ini ke mesyuarat Kabinet esok.
Ujarnya, pemain industri sektor perladangan dan komoditi ada bertemunya dan melahirkan kebimbangan terhadap perkembangan itu yang akan memberi kesan kepada perniagaan mereka.
“Pendaftaran E-Kad ini amat mengecewakan. Kementerian sasarkan lebih pendaftaran di sektor perladangan tapi jumlah PATI yang berdaftar hanya dalam lingkungan 150,000 berbanding sasaran asal 400,000 hingga 600,000.
“Saya dapati banyak pemain industri perladangan dan komoditi membuat aduan kepada saya dan bimbang akan perkembangan ini yang memberi kesan kepada perniagaan mereka,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Rumah Terbuka Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) hari ini.
Menurut Jabatan Imigresen, hanya 155,688 PATI telah didaftarkan untuk E-Kad sehingga ia ditutup 30 Jun lalu.
Daripada jumlah itu, hanya 140,746 E-Kad dikeluarkan setakat ini.
Ia merangkumi hanya 23 peratus PATI yang mendaftar dalam sistem itu sejak Februari lalu.
Selepas ini, mana-mana majikan yang gagal mendaftarkan pekerja mereka di bawah E-Kad boleh didakwa mengikut Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 bagi seorang PATI, penjara sehingga lima tahun, atau sebatan. -MalaysiaGazette.