Home Pendapat Krisis pendidikan negara kian memuncak?

Krisis pendidikan negara kian memuncak?

Gambar hiasan

SEJAK pandemik melanda negara, kaedah pendidikan negara kita telah berubah sepenuhnya. Sifat pandemik Covid-19 yang cepat merebak keseluruh masyarakat memaksa murid-murid dan guru-guru berkurung di rumah masing-masing. Peringkat awal pelaksanaannya secara terpaksa, ia melihatkan seribu kecacatan dalam pendidikan. 4 komponen pendidikan iaitu kurikulum, murid, guru dan sistem sokongan seolah-olah tidak memberi kerjasama yang baik apabila kaedah baru ini hendak dilaksanakan.

Kepimpinan pendidikan negara ketika itu secara kebetulan atau sebuah perancangan semuanya baru mengambil alih tampuk kepimpinan dari kepimpinan yang telah dibentuk dari mandat rakyat. Sedikit kelegaan buat pemerhati pendidikan apabila menteri pendidikan dinaikkan kedudukannya sebagai empat menteri kanan kerajaan persekutuan. Namun kelegaan itu tidak berpanjangan apabila selepas dua bulan pelaksanaan pendidikan kaedah baru, kecacatan itu semakin jelas kelihatan dan mampu menjadi barah.

Ada beberapa persoalan yang penulis tanyakan kepada pucuk pimpinan KPM ketika itu, antaranya ialah bagaimanakah pelaksanaan pendidikan secara dalam talian hendak dilaksanakan jika kurikulum yang dibina merupakan kurikulum lama dan tidak mesra pendigitalan? Kedua, adakah semua murid dan guru mampu dan bersedia melaksanakan pelaksaan pendidikan secara dalam talian atau kini dipanggil PdPR? Ketiga, setelah pengumuman pembatalan peperiksaan PT3 dan khabar angin ketika itu UPSR juga akan dimansuhkan, apakah mekanisme yang akan diwujudkan oleh pihak KPM untuk menyusun murid-murid ini masuk ke tingkatan 1 dan tingkatan 4 jika tidak ada penilaian yang seleras seluruh negara? Dan keempat, adakah kerajaan telah mempersiapkan sebuah perancangan strategik pendidikan negara yang perlu dilaksanakan jika negara mengalami masalah seperti banjir, pandemik dan lain-lain.

Kesemua ini antara soalan dalam pelbagai soalan yang banyak dibangkitkan sejak pandemik melanda negara. Sehingga hari ini, hampir setahun pandemik melanda negara, persoalan ini masih belum dijawab, jauh sekali pelaksanaannya.

Kesan daripada ketidakcekapan dan ketidakpekaan KPM dalam melihat soalan ini, kini ia menjadi timbunan isu yang telah mencetuskan krisis pendidikan negara. Keempat-empat komponen ini seolah-olah masih kekal berdegil untuk memberi kerjasama. Kerajaan yang berdiri hari ini diharapkan lebih proaktif, tetapi sebaliknya ia hanya mampu menutup dan membuka sekolah ketika situasi sesuai dengan keadaan. Sekali lagi saya menyatakan bahawa pucuk pimpinan pendidikan negara hanya menangguhkan pendidikan semasa pandemik sahaja. Ia ibarat negara kita lari daripada masalah yang hakikatnya kita perlu hadapi.

Krisis semakin memuncak apabila ada dikalangan murid kita tidak berkemampuan untuk menyertai sesi PdPR akibat kekangan wang yang banyak. Buktinya, untuk melayari platform PdPR, mereka perlukan jalur lebar berbayar. Oleh itu, wang menjadi keperluan mereka. Kedua, setelah ditimpakan dengan dasar yang berubah-ubah serta penutupan sekolah berkali-kali, murid-murid memilih untuk berputus harap untuk meneruskan pengajian mereka. Mereka telah membulatkan tekad untuk terus bekerja dan memulakan hidup sebagai seorang dewasa. Kesanya, lahirlah sebuah generasi yang tidak mempunyai kelayakan pendidikan walaupun bertaraf SPM. Mereka tidak gentar, kerana pasaran kerja tidak memerlukan SPM mereka, dunia yang berubah kearah pendigitalan dan Gig Ekonomi telah memperkukuhkan pilihan mereka.

Sebab itu, KPM khususnya YB Menteri Kanan Pendidikan termasuk dua Timbalan Menteri harus berperanan sabagai pasukan yang menguruskan pendidikan semasa pandemik, bukannya menangguhkan pendidikan semasa pandemik. Penulis ulang semula, menguruskan pendidikan semasa pandemik. Benar ia perkara baru, tapi dengan kepakaran penjawat awam yang ada dalam KPM, pastinya mereka boleh menyediakan data dan hujahan yang lengkap buat pak menteri merangkanya.

Paling awal yang sepatutnya dilakukan oleh YB Menteri Kanan Pendidikan ialah menyusun perancangan strategik yang perlu dilaksanakn semasa pandemik melanda negara. Kuasa yang ada pada KPM sangat besar termasuk dibawahnya Lembaga Peperiksaan Malaysia. Tidak bolehkah YB Menteri kanan merombak sebahagian kecil piawaian sedia ada dalam sistem membentuk sebuah sistem yang sesuai dengan keadaan pandemik ketika itu. Contohnya, bilangan sesi persekolahan, kaedah menilai prestasi murid dalam PdPR serta pencapaian khusus yang perlu dicapai oleh murid demi membentuk kemenjadian murid. Ini semua KPM boleh lakukan. Tiada halangan YB Menteri Kanan Pendidikan sedang memimpin sekarang, jadi dipersilakan. Ini langkah yang sepatutnya diambil setelah dua bulan negara melanda pandemik. Dengan itu, tahun 2020 tidak menjadi tahu yang sia-sia buat semua murid. Jika KPM masih belum melakukan sebarang langkah, laksanakanlah langkah ini memandangkan pandemik ini masih memuncak.

Penulis berpandangan, dari pandangan yang lebih besar ialah semasa sekolah ditutup keseluruhannya pada bulan november lalu adalah masa yang sesuai KPM merombak keseluruhan sistem pendidikan negara. Walaupun penulis tidak bersetuju dengan langkah KPM untuk menutup sekolah ketika itu, penulis melihat ada ruang untuk membuat sesuatu kepada pendidikan. Kenapa penulis tak bersetuju dengan langkah itu? Kerana ia menggambarkan betapa kita lemah menguruskan pendidikan semasa pandemik. Semasa diumumkan PKPB di Selangor, KL dan Sabah serta Labuan, calon-calon SPM sedang mengambil peperiksaan percubaan. Semasa itu, kes masih dibawah paras 300. Oleh itu, penutupan sekolah wajar dibuat secara berperingkat memandangkan kluster terbanyak ketika itu di Sabah dan Klang, Selangor. Biarkan murid tahun 1 sehingga tingkatan 4 sahaja yang dicutikan, manakala calon peperiksaan awam seperti tingkatan 5 dan 6 kekal sekolah secara bersemuka. Dengan itu, bilangan yang ke sekolah adalah lebih kurang dari yang biasa serta segala pengajian semasa itu dapat diselesaikan dengan peperiksaan. Kini, telah ditangguh, adakah kes berkurang dan calon peperiksaan awam kita masih berisiko untuk hadir ke sekolah. Ia tetap sama atau lebih teruk lagi.

Berbalik kepada soal menggubalan semula keseluruhan sistem pendidikan negara. Ia bukan satu yang idealis semata-mata. Ia realistik untuk dilaksanakan. Sejak zaman merdeka, negara mengubah sistem pendidikan mengikut peredaran zaman, tetapi sejak 20 tahun kebelakangan ini, sistem pendidikan yang diubah melebarkan jurang antara sistem pendidikan dengan perubahan zaman. Inilah masanya untuk KPM membentuk sebuah sistem pendidikan yang menyediakan tempat buat pasaran pekerjaan. Kurikulum yang dibina perlulah yang akan digunakan pakai semasa bekerja. Ini penting, kemahiran yang diberikan di sekolah menjadi keperluan semasa bekerja. Dengan itu, murid-murid kecanduan untuk hadir ke sekolah untuk mendapatkan ilmu. Sistem pendidikan kita sekarang baik tetapi tidak menjadi nilai tambah buat mereka bekerja nanti.

Seterusnya, dengan pengubalan ini, KPM boleh membentuk sebuah sistem yang mesra pandemik. Ia bermaksud, jika pandemik melanda negara, ia tetap boleh berjalan. Ini adalah langkah jangka masa panjang, perancangan strategik yang penulis jelaskan diawal tadi merupakan langkah jangka pendek. Pelaksaan sistem pendidikan mesra pandemik ini boleh dimulakan mulai tahun 1 dan tingkatan 1, kerana ia transisi pendidikan dari pendidikan awal kanak-kanak ke sekolah rendah dan dari sekolah rendah ke sekolah menengah.

Akhir sekali, dengan penggubalan ini, KPM boleh memperkukuhkan semula kemenjadian murid dalam pendidikan melalui penerapan mata pelajaran nilai moral atau akhlak dikalangan murid-murid sekolah rendah. Krisis pendidikan menjadi lebih mudarat apabila murid-murid kita dari golongan ‘Miskin Perangai’. Masyarakat akan runtuh apabila nilai moral atau akhlak diabaikan. Mata pelajaran ini adalah asas untuk semua murid sekolah rendah, dan ia perlu mempunyai penilaian yang perlu dicapai oleh murid. Dengan itu, murid punya motivasi dan arah tuju yang jelas.

Mungkin penulis berpuas hati apabila segala apa yang diucapkan dalam bual bicara dalam talian sebelum ini dan apa yang terukir dalam fikiran penulis telah diturunkan dalam rencana ini. Namun, penulis masih merasa lelah dan risau akan kedudukan sistem pendidikan negara yang tiada arah tuju. Sahutlah pertolongan dari pemimpin parti pembangkang untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas merentas parti yang berperanan membina semula dasar pendidikan negara. Demi pendidikan anak bangsa, pemimpin politik bersedia dan harus bersedia untuk mengenepikan aganda politik masing-masing.

Sempena bukanya sekolah buat semua calon peperiksaan awam 2020, penulis ingin menanyakan dan wajar dibentangkan oleh YB Menteri Kanan Pendidikan, adakah KPM mempunyai sebuah perancangan yang jelas dan langkah yang akan diambil pada kedudukan peperiksaan awam itu andai kata ada pusat peperiksaan yang terganggu akibat penularan pandemik Covid-19 (didoakan kejadian ini tidak berlaku). Ini penting untuk kemukakan oleh KPM, memandangkan peperiksaan awam ini dijalankan serentak dan kertas peperiksaannya adalah selaras diseluruh negara. Jadi andai kata terganggu disuatu tempat, apakah kedudukan ditempat lain dan kedudukan peperiksaan awam itu sendiri.

Syazmir Haris Noorazalan
Penulis Politik – Tinta Siyasah