SERDANG – Syarikat Masak-Masak Cek Yana (MMC) hari ini menyumbang 4,100 pek KFC kepada para petugas barisan hadapan dan pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 2.0 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.
Pengasas syarikat yang hanya ingin dikenali sebagai Cek Yana berkata, pihaknya terpanggil untuk menyampaikan sumbangan berbentuk makanan bagi menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan serta menggembirakan pesakit Covid-19 yang dikuarantin di pusat berkenaan.
“Sebanyak 4,100 ‘snack plate’ KFC dan 8,178 pek rempah oden jenama Cek Yana disumbangkan kepada frontliners serta pesakit Covid-19 di sini dengan jumlah kesemua dianggarkan RM174,000.
“Tujuan kita adalah untuk berkongsi rezeki dan juga terus memberi semangat kepada pesakit-pesakit yang agak lama dikuarantin di sini dan berjauhan dengan keluarga mereka,” katanya.
Tambah Cek Yana, program kemasyarakatan tersebut bukan lah yang pertama dijalankan oleh syarikat dan mereka pernah menghulurkan sumbangan sama kepada petugas Hospital Sungai Buloh sebagai tanda penghargaan kepada frontliners yang bertungkus-lumus selama ini.
Katanya lagi, pihak syarikat turut merancang untuk meneruskan sumbangan seumpamanya kepada keluarga pesakit Covid-19 serta mangsa banjir di Pahang dan Johor.
“Kita memang ada perancangan masa akan datang untuk turun membantu mangsa banjir dan juga anak-anak kepada pesakit Covid-19 mungkin dari segi bantuan makanan asas dan apa sahaja yang bersesuaian,” ujarnya.
MMC yang beribu pejabat di Puchong merupakan sebuah syarikat pengeluar produk rempah Oden yang kini ‘trending’ dalam kalangan peminat makanan panas yang berasal dari Jepun. – Malaysia Gazette