HARMONI Malaysia mengikut rapat perkembangan COVID-19 di Malaysia dan prosedur
operasi piawai (SOP) yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia. HARMONI Malaysia menzahirkan kegusaran terhadap kenyataan Yang Berhormat Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 15 Januari 2021 yang membenarkan mahasiswa pulang ke kampus tanpa mewajibkan ujian saringan COVID-19 kepada semua
mahasiswa. Hal ini kerana keadaan kolej kediaman di kebanyakan universiti tidak
membolehkan penjarakan fizikal dilakukan dengan mudah.
Kes-kes yang telah berlaku di asrama-asrama sekolah dan kolej-kolej kediaman universiti
sebelum ini seperti kes sekolah di Sabah dan Pahang yang telah positif COVID-19 setelah
pulang ke asrama sekolah wajar dijadikan iktibar untuk melakukan pembentukan SOP semasa pembukaan universiti nanti. Oleh kerana R0 Malaysia setakat 17 Januari 2021, ialah 1.16, kes dijangkakan akan terus meningkat. Menurut unjuran, jika R0 = 1.2, pertambahan kes dijangkakan akan meningkat kepada 5000 kes sehari pada minggu ketiga Februari jika tiada sebarang tindakan yang berkesan dilaksanakan oleh semua pihak.
Oleh itu, HARMONI Malaysia meminta kepada kerajaan agar:
1. Ujian Saringan COVID-19 diwajibkan dan ditawarkan secara percuma kepada semua
mahasiswa yang akan pulang ke kampus. Inisiatif ini perlu dilakukan bagi mengelakkan
penularan wabak COVID-19 di kolej kediaman oleh individu yang telah dijangkiti Covid-19
tanpa atau belum menunjukkan sebarang gejala.
2. Kerajaan membuat unjuran yang lebih baik bagi peningkatan atau penurunan kes.
Persoalan samada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini akan diteruskan atau tidak selepas tempoh dua minggu tidak perlu menunggu pada hari terakhir untuk diumumkan. Seharusnya perkara ini diputuskan lebih awal bagi memberikan ruang mahasiswa bersedia untuk pulang ke kampus dengan lebih baik disamping urusan rakyat boleh dipermudahkan. Keputusan di saat akhir yang acapkali berlaku sebelum ini ternyata merugikan banyak pihak khususnya rakyat golongan rentan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menurunkan bilangan ujian saringan COVID-
19. Berita berkenaan pelan KKM untuk hanya menguji mereka yang menunjukkan simptom sahaja amat merisaukan kerana ia boleh menyebabkan penularan COVID-19 oleh individu tidak bergejala tanpa dapat dikesan. Perkara itu boleh menyebabkan kes yang direkodkan tidak menggambarkan realiti sebenar yang telah dijangkiti. Sikap sambil lewa dan penetapan SOP yang tidak tepat dengan keadaan sebenar boleh berlaku jika saringan dilakukan hanya pada yang bergejala sahaja.
Kerajaan mesti melibatkan pemegang taruh yang bergerak secara langsung di lapangan
dalam proses perbincangan dan pembuatan keputusan khususnya dalam aspek perangkaan SOP agar keputusan yang dilakukan benar-benar berkesan. Keputusan yang seringkali mendapat respons negatif daripada rakyat serta perubahan dalam jangka masa singkat daripada keputusan awal menggambarkan kerajaan tidak memahami dengan baik
permasalahan sebenar sebelum melakukan apa-apa keputusan walaupun sudah setahun kita berhadapan dengan wabak ini.
Pimpinan negara khususnya ahli politik mestilah bersikap lebih cermat dan bertanggungjawab dalam mematuhi SOP yang ditetapkan agar menjadi contoh baik kepada rakyat. Penguatkuasaan perlu dilakukan secara adil dan tidak menyebelahi mana-mana pihak yang mempunyai kedudukan dan kuasa. HARMONI Malaysia menggesa pihak kerajaan agar mengambil perhatian yang lebih serius kepada sebarang cadangan dan komentar yang datang daripada pelbagai pihak sama ada daripada parti pembangkang, kumpulan pakar, gerakan sivil dan lain-lain selagimana ia berasaskan fakta dan data yang berasas. Kerajaan perlu berhenti daripada bersikap elitis dan ekslusif, bahkan lebih terbuka dalam menghadapi wabak ini kerana wabak ini adalah urusan kita semua – warga Malaysia.
Usaid Asmadi
Presiden
Persatuan Belia HARMONI Malaysia