Home Nasional KKLW, Risda sedia bina jalan getah di kampung-kampung

KKLW, Risda sedia bina jalan getah di kampung-kampung

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) diiringi Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin (dua kiri) menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim Al-Firdaus pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri RISDA di Ibu Pejabat RISDA, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 04 JULAI 2017.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan agensi dibawahnya, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menyatakan kesediaan untuk membina jalan getah di kampung-kampung selepas kerajaan memberi lampu hijau bagi menggunakan bahan tersebut dalam pembuatan jalan raya.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembinaan jalan getah sememangnya disokong pihak kementerian dan sedia bekerjasama dalam membangunkan setiap kampung.

Bagaimanapun, Risda tidak boleh melaksanakan memandangkan ia bukan agensi yang menguruskan projek tersebut.

“Kita sokong, projek kampung kita akan gunakan jalan berasaskan getah ini cuma setakat hari ini tak banyak lagi boleh diperolehi untuk buat jalan ini.

“Walaupun kita buat polisi bersetuju tapi jalan itu bukan dikeluar oleh Risda, jadi kalau ada KKLW akan menggunakan jalan ini,” katanya semasa sidang media rumah terbuka Hari Raya anjura Risda di Ampang hari ini.

Ismail Sabri berkata, jika boleh semua jalan getah ini dapat digunakan dalam Projek Jalan Kampung (PJK) yang dikendalikan bawah KKLW sendiri.

“Kalau boleh semua jalan kita nak gunakan getah ini, mana-mana jalan baru di luar bandar dalam kampung, Projek Jalan Kampung akan menggunakan jalan berasaskan getah, itu telah pun dipersetujui,” katanya.

Namun, Ismail Sabri mengakui terdapat kekangan untuk membina jalan getah memandangkan bahan tersebut masih sukar diperolehi dan ia memerlukan kelulusan Jabatan Kerja Raya (JKR) terlebih dahulu sebelum dibenarkan pembinaannya.

“Cuma bahan itu masih lagi sukar untuk diperolehi.

“Kalau boleh secepat mungkin kerana getah ada, cuma apabila nak buat mesti dapatkan kelulusan JKR misalnya JKR akan lihat dari segi kualiti dan ketahanan, jadi beberapa kementerian lain akan terlibat,” katanya.

Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang menggunakan getah beku bagi teknologi penurapan jalan raya melalui kaedah Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan (CMA). Ia adalah campuran yang terdiri daripada Cup Lump Modified Binder (CMB) dan batu baur (aggegate).

Kajian bersama Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mencapai fasa baharu dalam teknologi campuran getah dan campuran asfalt selepas diperkenalkan lebih 60 tahun lepas.

Projek perintis ini juga akan membuka lembaran baharu terutama kepada 440,000 orang pekebun kecil getah di Malaysia apabila penggunaan getah beku dalam negara dapat ditingkatkan.

Ini akan membantu menstabilkan industri getah yang dibelenggu harga rendah sejak beberapa tahun kebelakangan ini seterusnya memberi pulangan pendapatan yang lebih tinggi kepada pekebun.

Dianggarkan sebanyak 4.2 tan getah beku digunakan untuk satu kilometer jalan yang dibina. – MalaysiaGazette