Home Politik Kerajaan Negeri Kedah angkuh – Saravanan

Kerajaan Negeri Kedah angkuh – Saravanan

M. Saravanan

KUALA LUMPUR – Tindakan Menteri Besar Kedah membatalkan cuti umum Thaipusam menunjukkan keangkuhan pemimpin negeri itu.

Malah, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan menyifatkan Sanusi sebagai berat sebelah, tidak menghormati sentimen serta perasaan masyarakat India apabila memaklumkan cuti tersebut dilaksanakan di Kedah.

“Ini tidak lebih dari sikap angkuh pemerintahan pemimpin Pas di negeri itu. Walaupun saya sedia maklum tentang hak prerogatif negeri itu dalam mengisytiharkan cuti umum atau tidak bagi sambutan Thaipusam, tapi ini sangat mengecewakan.

“Tidak bermakna kita tidak pergi ke kuil maknanya kita tidak akan sambut upacara sembahyang ini di rumah, Thaipusam adalah satu upacara keagamaan yang cukup penting bagi penganut Hindu di negara ini.

“Thaipusam disambut begitu besar di negara ini selama ini. Jadi apabila Kerajaan Negeri sewenang-wenangnya mengisytiharkan Kedah tiada cuti umum, ia tidak boleh diterima langsung,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Semalam Muhammad Sanusi mengumumkan tidak akan ada cuti umum Thaipusam di negeri Kedah pada tahun ini, kerana semua aktiviti pada perayaan tersebut telah dibatalkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jelas Saravanan, Menteri Besar itu tidak memberi pertimbangan untuk duduk berbincang dengan wakil India dalam Kerajaan Persekutuan sebelum membuat keputusan tersebut.

“Jangan lupa Pas masih lagi anggota gabungan Perikatan Nasional (PN), tindak tanduk seperti ini pastinya akan merugikan gabungan pada pilihan raya akan datang seandainya krisis seperti ini berterusan.

“Sebarang keputusan yang diumum seperti ini perlu dilakukan selepas berunding dengan wakil India seperti MIC yang berada dalam Kerajaan Persekutuan,” ujarnya sambil menyatakan sebelum ini memang tidak ada perbincangan mengenai perkara tersebut.

Tambah beliau lagi, pemerintahan Pas di Kedah harus menyedari terdapat beberapa kawasan di negeri tersebut yang mempunyai majoriti kaum India dan beragama Hindu, justeru keputusan Sanusi ini pasti menimbulkan kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan penganut Hindu.

“Yang pasti penganut Hindu Malaysia kecewa dan terganggu dengan pengumuman ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tk ada cuti umum tk bererti kaum india tk boleh bercuti pada hari tersebut.. Pihak swasta tentu menyambut baik pengumuman tersebut, depa tk perlu bayaq gaji lebih utk hari tu. Lagi pun kt Malaysia ni cuti byk dh pun. MB Kedah pun ada pegawai dari kaum india. Tentu pegawai tersebut dah bagi pandangan.

Comments are closed.