Home Seni Hidup MAFI lancar Misi Prihatin bantu mangsa banjir di Pahang

MAFI lancar Misi Prihatin bantu mangsa banjir di Pahang

Ronald (tiga dari kiri) dari kiri menunjukkan isyarat bagus semasa melancarkan "Misi MAFI Prihatin" di Wisma Tani, pagi tadi

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melancarkan “Misi MAFI Prihatin” ke negeri Pahang bagi meringankan beban penduduk yang terkesan banjir di negeri terbabit.

MAFI dalam satu kenyataan memaklumkan, pelaksanaan Misi MAFI Prihatin itu merupakan inisiatif Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Katanya, misi berkenaan melibatkan penghantaran bantuan makanan, keperluan asas dan peralatan elektrik ke empat kawasan Parlimen di Pahang iaitu Lipis, Jerantut, Kuala Krau dan Maran.

“Bantuan Banjir MAFI Prihatin merupakan hasil sumbangan dan tanggungjawab sosial pelbagai Jabatan dan Agensi dibawah MAFI antaranya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Selain produk makanan, turut disampaikan juga tajaan beras oleh pihak Padiberas Nasional Berhad (BERNAS),” katanya.

Menurut MAFI lagi, bantuan itu menumpukan kumpulan sasar yang terdiri daripada petani, penternak dan nelayan yang akan diserahkan melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) kawasan masing-masing.

isi MAFI Prihatin itu akan diteruskan ke negeri-negeri yang terjejas banjir dengan setiap Parlimen menerima sumbangan berjumlah RM16,125 yang merupakan pemberian luar yang disalur kepada Pengairan dan Saliran Malaysia (MANCID) untuk bencana banjir.

Katanya lagi, pada awal bulan ini, MAFI menerusi jabatan serta agensinya telah menyerahkan Kit Makanan Permulaan (KMP) untuk mangsa dan warga MAFI yang terjejas banjir di Johor dan Pahang.

Mengikut rekod, sebanyak 32,000 unit KMP juga telah diedarkan kepada Angkatan Pertahanan Awam di peringkat negeri dan daerah terutamanya di Pahang, Johor, Kelantan, Terengganu dan Sabah.

Misi yang bergerak ke Pahang itu dilepaskan oleh Ronald di Wisma Tani pagi tadi dengan sesi pelepasan dilakukan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – MalaysiaGazette