KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Kedah meminta kerajaan negeri itu menilai semula keputusan kerajaan negeri membatalkan cuti peristiwa Thaipusam yang sepatutnya disambut pada 28 Jan ini.
Pengerusi Gerakan Kedah, Marimuthu Selvan berkata, pembatalan sambutan Thaipusam di rumah ibadat kerana Covid-19 bukan bermakna tiada keperluan untuk cuti peristiwa.
Walaupun tidak dapat pergi ke kuil, penganut Hindu akan mengadakan sembahyang, menunaikan nazar dan sebagainya kediaman masing-masing.
Menurutnya, keputusan kerajaan negeri itu boleh mengugat persefahaman antara agama di negeri ini.
”Walaupun sambutan perayaan besar tidak dapat diadakan tahun ini kerana Covid-19, tetapi penganut Hindu masih meraikannya dan kerajaan negeri Kedah perlu menilai semula tindakan pembatalan cuti peristiwa Thaipusam,”. katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, Parti Gerakan faham pembatalan sambutan Thaipusam di rumah ibadat adalah langkah proaktif dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 dan percaya penganut Hindu di seluruh negara memahami dan menerima keputusan tersebut demi kebaikan bersama.
Namun, Marimuthu menyeru Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi untuk mengkaji semula keputusan membatalkan cuti peristiwa Thaipusam dan terus mengamalkan keutamaan kepelbagaian kaum dan agama di negeri ini. – MalaysiaGazette