Home Utama PKP: Kedai makan, restoran boleh beroperasi hingga 10 malam mulai esok

PKP: Kedai makan, restoran boleh beroperasi hingga 10 malam mulai esok

Selepas mendapat bantahan ramai kini kerajaan nampaknya akur dengan melanjutkan tempoh operasi restoran dan kedai makan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Selepas mendapat bantahan ramai kini kerajaan nampaknya akur dengan melanjutkan tempoh operasi restoran dan kedai makan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jika dahulu kesemuanya mesti tutup pukul 8 malam tetapi bermula esok, tempoh operasi dilanjutkan ke pukul 10 malam, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.

Katanya, langkah itu diambil selepas kerajaan mendengar keluhan orang ramai berhubung pengoperasian kedai makan yang singkat.

“Ramai yang merungut mengenai pelaksanaan penutupan kedai makan yang ditetapkan pada pukul 8 malam. Ada yang mengatakan bahawa mereka tidak sempat untuk membeli makanan kerana pulang lewat dari kerja dan di pihak peniaga seperti penjual sate dan sebagainya mereka kata, pengoperasian jualan hanya bermula selepas waktu Maghrib. Jadi banyak kerumitan berlaku,” katanya pada sidang media hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan masih lagi tidak membenarkan orang ramai makan di premis menjual makanan dan ketetapan masih seperti biasa iaitu hanya boleh dibungkus untuk dibawa pulang. – MalaysiaGazette