SITIAWAN – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) tidak menolak kemungkinan harga beras import akan meningkat pada masa akan datang kerana komoditi itu bukanlah barangan kawalan dan harganya bergantung pasaran beras dunia.
Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, antara faktor yang boleh menyumbang kepada kenaikan harga beras import ialah nilai ringgit yang rendah.
Katanya kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk mengawal harga beras import di pasaran tempatan.
“Bagaimanapun itu (kenaikan) hanya ramalan. Sebenarnya beras import tidak dikawal harga silingnya tetapi dari segi peraturan ia tidak boleh dijual lebih murah daripada beras tempatan bagi melindungi industri beras negara.
Mungkin apa yang disebutkan Persatuan Pemborong Beras betul kerana ada tanda-tanda bahawa beras dunia sudah mula meningkat kerana satu peringkat dulunya harga beras import pasaran dunia satu tan metrik adalah lebih kurang AS$340 (RM1,461) hingga AS$350 (RM1,504), sekarang ini sudah ada tanda-tanda berkemungkinan meningkat AS$400 (RM1,719) per tan metrik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis perasmian Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Kompleks Perikanan Kampung Acheh di sini yang dirasmikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di sini hari ini.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Pemborong Beras Wu Zi Lian meramal harga beras import akan naik sebanyak 10 peratus selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Ahmad Shabery berkata, harga minyak dunia yang mungkin meningkat turut boleh mempengaruhi harga semasa pasaran beras import selain berlakunya bencana alam seperti di Bangladesh baru-baru ini selain permintaan beras dunia yang turut meningkat.
“Kita tahu bahawa dalam pasaran beras dunia sekarang ini, hanya 10 peratus daripada pengeluaran beras yang didagangkan di peringkat antarabangsa, jadi naik turun harga beras boleh berlaku bila-bila masa,” katanya. – MalaysiaGazette