KUALA LUMPUR – Seramai 55 orang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) positif Covid-19 manakala seorang pegawai meninggal dunia pada tahun lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya juga tidak terkecuali dan turut terkesan dengan penularan virus tersebut.
“Seorang wira (pegawai bomba) kami telah meninggal dunia akibat positif Covid-19 pada tahun 2020,” katanya pada perutusan tahunan 2021 JBPM hari ini.
Sementara itu, Mohammad Hamdan memberitahu, pengoperasian 162 buah balai bomba turut menerima kesan yang mana anggota bertugas terpaksa dilatih secara pentadbiran.
Malah katanya, sejak penularan dikesan pada Februari tahun lalu, JBPM telah memikul tanggungjawab yang besar sebagai salah satu agensi petugas hadapan utama bagi menangani wabak tersebut.
“Sehingga 31 Disember lalu, seramai 1,290 anggota jabatan telah terlibat dalam melaksanakan 17,585 operasi merangkumi tujuh Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) dan 1,375 misi pemindahan mangsa.
“Kami juga melaksanakan 65 disinfeksi kawasan epicentre / disinfeksi Individu Dalam Siasatan (PUI) dan Pesakit Dalam Pemerhatian (PUS), 13,220 sanitasi awam (melibatkan 14,784 premis dan 137 zon PKD), tiga bantuan pengurusan jenazah, 214 pemeriksaan keselamatan kebakaran stesen kuarantin, dan lain-lain pelaksanaan sebanyak 2,701,” ujar beliau. – MalaysiaGazette