KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) bulan Disember menurun 1.4 peratus pada Disember 2020 kepada 120.6 berbanding 122.3 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Penurunan IHP keseluruhan ini telah dipengaruhi oleh penurunan indeks Pengangkutan (-8.4%); Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (-3.3%); Pakaian & Kasut (-0.4%); Restoran & Hotel (-0.2%) dan Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (-0.1%) yang menyumbang 48.6 peratus daripada keseluruhan wajaran.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, daripada 552 item yang diliputi di dalam IHP, 339 item menunjukkan peningkatan pada Disember 2020 berbanding Disember 2019.
Sebaliknya, 145 item mencatatkan penurunan manakala 68 item tidak berubah.
Berdasarkan prestasi 552 item mengikut kategori barangan dan perkhidmatan, Barang Tidak Tahan Lama (296 item) adalah kategori paling banyak mengalami kenaikan harga iaitu 206 item, 73 item menurun dan 17 item tidak berubah berbanding kategori Perkhidmatan, Barang Semi Tahan Lama dan Barang Tahan Lama.
Walau bagaimanapun, Makanan & Minuman Bukan Alkohol meningkat 1.4 peratus kepada 135.8 berbanding 133.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Kumpulan ini menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP.
Selain itu, Pelbagai Barangan & Perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 2.2 peratus dan diikuti Kesihatan (1.0%), Minuman Alkohol & Tembakau (0.6%), Pendidikan (0.6%) dan Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (0.2%).
Mohd Uzir berkata, IHP tanpa bahan api menurun 0.1 peratus pada Disember 2020 kepada 112.8 berbanding 112.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali Petrol Tanpa Plumbum RON95, Petrol Tanpa Plumbum RON97 dan Diesel.
Purata harga Petrol Tanpa Plumbum RON95 menunjukkan penurunan pada Disember 2020 iaitu RM1.74 per liter berbanding RM2.08 pada Disember 2019.
Di samping itu, purata harga Petrol Tanpa Plumbum RON97 menurun kepada RM2.04 per liter berbanding RM2.63 dan purata harga Diesel menurun kepada RM1.93 per liter berbanding RM2.18 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Indeks teras meningkat 0.7 peratus pada Disember 2020 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (2.2%); Makanan & Minuman Bukan Alkohol (1.2%), Kesihatan (1.0%); Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain (0.6%) dan Pendidikan (0.6%).
Indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal.
Walaupun perubahan IHP tahunan menurun, perubahan IHP bulanan meningkat 0.5 peratus berbanding November 2020, katanya.
Peningkatan ini telah disumbangkan oleh Pengangkutan (3.0%) dan Makanan & Minuman Bukan Alkohol (0.5%).
Sementara itu, IHP bagi suku tahun keempat 2020 menurun 1.5 peratus kepada 120.3 berbanding 122.1 pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya, bagi perbandingan suku tahunan pula, IHP meningkat 0.2 peratus berbanding suku tahun ketiga 2020.
Menurut Mohd Uzir, IHP bagi tahun 2020 mencatatkan penurunan 1.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Indeks bagi semua negeri menunjukkan penurunan antara -0.9 peratus hingga -2.2 peratus bagi Disember 2020 berbanding Disember 2019.
Penurunan tertinggi dicatatkan oleh Kedah & Perlis iaitu -2.2 peratus. Ini diikuti oleh Sabah & Wilayah Persekutuan Labuan (-2.0%), Johor (-2.0%), Melaka (-2.0%), Sarawak (-1.9%) dan Negeri Sembilan (-1.9%).
Namun begitu, kebanyakan negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Pahang iaitu 2.3 peratus, diikuti oleh Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.2%),
Perak (2.0%), Terengganu (2.0%) dan Negeri Sembilan (1.7%). – MalaysiaGazette