KUALA LUMUR – Meskipun berdepan cabaran berikutan pandemik Covid-19, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya menarik pelaburan komited bernilai RM5.5 bilion dan merealisasikan pelaburan berjumlah RM4.2 bilion bagi tahun 2020 di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Pelanjutan insentif bagi pelaburan ke Wilayah ECER oleh Kerajaan Persekutuan untuk tempoh dua tahun sehingga 31 Disember 2022 dijangka menjadi rangsangan utama dalam menarik pelaburan baharu dan mengembalikan momentum ekonomi di Wilayah ECER.
Antara insentif di bawah Pakej Insentif ECER adalah pengecualian cukai pendapatan, elaun cukai pelaburan, potongan bagi pelaburan dalam sektor pertanian dan pengecualian duti setem untuk aktiviti-aktiviti yang dipromosikan.
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDCE, Baidzawi Che Mat berkata, pihaknya akan memanfaatkan lanjutan insentif ini untuk menggiatkan promosi ECER sebagai destinasi pelaburan dalam tempoh dua tahun akan datang bagi menarik lebih banyak pelaburan
yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Menurutnya, ECERDC masih mengekalkan sasaran untuk mencapai pelaburan swasta baharu bernilai RM70 bilion menjelang 2025, seperti yang digariskan di dalam Pelan Induk ECER 2.0 (EMP2.0) melainkan kemelesetan ekonomi global akibat pandemik COVID-19 berpanjangan.
”Kami meneruskan promosi untuk menarik pelaburan baharu ke ECER, projek-projek dan program-program berimpak tinggi yang digariskan di dalam EMP2.0 akan terus dilaksanakan.
”Dalam jangka masa terdekat, sektor perniagaan tani dan pelancongan dijangka menjadi tonggak utama yang akan mendorong pemulihan ekonomi di wilayah ini,”katanya selepas mesyuarat Majlis ECERDC yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara maya.
Menurutnya, sektor itu disokong oleh pembangunan modal insan yang bertumpukan kepada kemahiran Industri 4.0 (IR4.0) yang akan menjadi faktor utama dalam membangunkan kemampuan dan meningkatkan daya tahan rakyat untuk menghadapi cabaran dalam era pasca Covid-19. – MalaysiaGazette