Home Nasional Armada sahkan tiada pemimpin parti itu ditangkap

Armada sahkan tiada pemimpin parti itu ditangkap

Armada menafikan ada kalangan pemimpinnya ditahan kerana mengedar ganja.

KUALA LUMPUR – Armada Bersatu Malaysia (Armada) mengesahkan tiada dalam kalangan kepimpinan sayap Bersatu itu telah ditahan seperti yang dilaporkan.

Armada dalam kenyataannya di sini berkata, pihaknya mengambil maklum laporan media yang tular mengenai individu yang ditahan kerana memiliki bahan narkotik.

Sayap parti Bersatu itu juga menegaskan sebarang salah laku dalam kalangan ahlinya akan dibawa ke peringkat tertinggi bagi tindakan tatatertib.

“Armada Bersatu dengan itu menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Hari ini media melaporkan seorang ahli biro sebuah parti politik dicekup polis kerana disyaki mengedar dadah yang diproses sendiri di rumah.

Suspek yang juga seorang ahli perniagaan berusia 35 tahun ditahan polis dalam satu serbuan di Fraser Business Park, Pudu Rabu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, pasukan polis menahan suspek itu sekitar jam 1.45 petang.

Hasil pemeriksaan, polis merampas 40 botol mengandungi 400 milileter cecair dadah beserta wang tunai RM250 serta sebuah motosikal.

Susulan tangkapan itu, pihak polis membuat satu lagi serbuan di rumah suspek di Ampang, Selangor sekitar jam 1 pagi semalam dan membawa kepada penemuan tujuh batang pokok ganja serta dua anak pokok ganja.

Menurut Saiful Azly, pemeriksaan lanjut polis turut berjaya merampas 1,500 gram ganja, cecair kimia, tempat siram pokok ganja serta sebuah kereta BMW disyaki milik suspek berkenaan.

Kesemua rampasan di rumah suspek dianggarkan berjumlah RM60,760 melibatkan pokok ganja bernilai RM4,500, ganja RM3,000 serta cecair dadah bernilai RM53,100.

Hasil soal siasat polis, suspek mengaku terbabit dalam kegiatan itu sejak Oktober tahun lalu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bersatu terutama Armada tidak mengaku bahawa Adam Asmuni adalah anggota mereka…
    Takut rakyat tahu bahawa calon yg kalah kepada Tim Menteri Kesihatan dan juga pernah bertanding sebagai calon Naib Ketua Armada..

Comments are closed.