KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati harga cili, termasuk cili merah kulai, cili merah minyak dan cili akar mula menunjukkan penurunan.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, harga purata cili merah kulai pada bulan Disember 2020 adalah pada paras RM23 sekilogram dan pada minggu ini harga purata cili itu turun kepada RM19 sekilogram, penurunan sebanyak 17 peratus.
Menurutnya, pengguna di Malaysia dikatakan lebih suka memilih cili kulai berbanding cili-cili lain berikutan pilihan dan cita rasa tersendiri daripada sudut rasa, rupa fizikal, ketahanan kesegaran dan khasiatnya.
“Penggunaan cili oleh pengguna Malaysia dianggarkan kira-kira 0.006 kilogram (kg) seorang sehari, 0.17 kg sebulan dan 2.0 kg setahun.
“Keperluan untuk setahun bagi 32.73 juta rakyat Malaysia ialah 65.46 juta kg,” katanya dalam kenyataan.
Terdapat beberapa jenis cili yang ada di pasaran iaitu Cili Mardi, Cili Merah Minyak, Cili Sime Darby, Cili Kulai dan Cili Import.
Alexander berkata, ili di Malaysia ditanam dua musim setahun dan setiap enam bulan ia dituai, diproses dan diedarkan untuk bekalan kepada pengguna dan industri melalui pemborong dan peruncit.
Ujar beliau, penanamannya dipengaruhi elemen cuaca sekitar 28 hingga 29 darjah selsius, tanah jenis gambut dan berpasir serta kelembapan sederhana dengan luas ladang 576.85 hektar yang mana keluasan tanaman cili kulai ialah 204.46 hektar. – MalaysiaGazette