KUALA LUMPUR – Dua sahabat bertemu buku dengan ruas apabila cubaannya untuk melakukan samun terhadap seorang wanita gagal selepas kedua-duanya ditahan orang awam dalam kejadian semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Arifai Tarawe berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang menaiki kereta hendak melalui sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Lebuhraya Kuala Lumpur Karak- Gombak dari arah Bentong.
Beliau berkata, setibanya wanita itu di lokasi SJR tersbut salah seorang daripada suspek yang menaiki motosikal telah bertindak memecahkan cermin kereta mangsa di bahagian sebelah hadapan penumpang dan melarikan dokumen penting dan wang tunai berjumlah RM90.
“Sejurus suspek memecahkan cermin kereta pengadu, sebuah lori bersebelahan kereta pengadu yang nampak kejadian telah bertindak membunyikan hon disusuli beberapa pemandu kenderaan lain turut membunyikan hon.
“Ketika suspek cuba melarikan diri dengan motosikal, suspek terjatuh apabila motosikalnya terlanggar pintu sebuah lori yang mana seorang pemandu lori telah bertindak membuka pintu untuk menghalang suspek dari melarikan diri.
“Tangkapan telah dilakukan oleh pemandu lori tersebut bersama beberapa orang awam ke atas kedua-dua suspek berserta rampasan dan kemudian menyerahkan kepada anggota polis bertugas di Sekatan Jalan Raya Tol Gombak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Arifai berkata, siasatan mendapati, motosikal jenis SYM yang digunakan kedua-dua suspek berusia 24 dan 28 tahun menggunakan nombor pendaftaran palsu dan masih dilaporkan hilang di Taman Melawati.
Selain itu beliau berkata, pemeriksaan ke atas dua beg bimbit suspek turut menjumpai dua keping kad pengenalan milik orang lain.
Tambahnya, berdasarkan semakan polis mendapati, terdapat dua laporan yang pernah dibuat oleh kedua-dua penama tersebut di kawasan Sentul dan Brickfields pada 22 Januari yang mana
kedua-dua suspek menggunakan modus operandi sama iaitu memecahkan cermin kereta mangsanya.
“Dengan tertangkapnya kedua-dua suspek ini, pihak polis telah berjaya menyelesaikan empat kes jenayah yang berlaku di daerah Gombak dan di Kuala Lumpur setakat ini,” ujarnya.
Katanya lagi, polis membuka menyiasat kes itu di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek direman selama lima hari bermula hari ini hingga 27 Januari depan untuk siasatan lanjut.
Pihak polis mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan keperihatinan orang ramai yang membantu menangkap suspek tersebut seterusnya menyerahkan mereka kepada polis, ujarnya. – MalaysiaGazette