Home Nasional COVID-19: Jabatan Kesihatan Kelantan khuatir aspek fasiliti

COVID-19: Jabatan Kesihatan Kelantan khuatir aspek fasiliti

Dr Zaini Hussin

KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menjangka kapasiti fasiliti kesihatan sedia ada di negeri ini hanya mampu bertahan untuk tempoh dua bulan sahaja lagi sekiranya kes positif COVID-19 terus menunjukkan trend peningkatan.

Pengarah JKNK Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya merasa bimbang perkara itu boleh berlaku memandangkan Kelantan menunjukkan lonjakan kes positif melebihi 100 kes setiap hari sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mendapati kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (R0) COVID-19 di Kelantan merekodkan bacaan 1.26, sekali gus melebihi kadar Rt kebangsaan iaitu 1.14.

“Sekiranya kes di Kelantan terus menunjukkan peningkatan secara berterusan merekodkan tiga angka, kita bimbang kebolehjangkitan semakin meningkat, dan fasiliti kesihatan sedia ada tidak mampu menampung jumlah pesakit,” katanya ketika ditemui ditemui di Program Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Peduli Tautan Kasih PKRC Kelantan Muasaadah COVID-19 di sini, hari ini.

Menurutnya, sehingga kini lapan hospital di Kelantan digunakan untuk merawat pesakit COVID-19, selain empat Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) iaitu Dewan Jubli Perak, Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan, Kolej Kejururawatan Kota Bharu dan Dewan Sivik Gua Musang.

Mengulas lanjut, Zaini berkata, antara strategi yang dilakukan untuk memastikan fasiliti mencukupi dalam memerangi COVID-19 ketika ini adalah dengan melaksanakan kaedah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

“Sehingga kini 145 orang sedang menjalani HSO dan kami juga sedang mengenal pasti beberapa tempat termasuk dewan sekiranya perlu dibuka sebagai PKRC memandangkan ketika ini 257 pesakit ditempatkan di PKRC di seluruh Kelantan,” tambahnya.

Sementara itu di GUA MUSANG, 83 kompaun atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) di daerah ini dikeluarkan sehingga Khamis lepas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di Kelantan pada 16 Jan lepas.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Sik Choon Foo berkata, mereka yang dikompaun termasuk peniaga kedai makan yang membenarkan pelanggan menjamu selera di premis dan tidak memakai pelitup muka.

“Malah masih ada peniaga dikesan tidak mengambil berat pemeriksaan suhu badan di premis mereka dengan membiarkan alat pengimbas suhu kehabisan bateri serta tidak menyediakan pensanitasi tangan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Sik berkata, beliau juga mengarahkan anggota supaya berpakaian awam bagi tugas penyamaran untuk mengesan mereka yang melanggar SOP. – Bernama