Home Seni Hidup PAWS hulur sumbangan pek makanan kepada petugas kesihatan, riders

PAWS hulur sumbangan pek makanan kepada petugas kesihatan, riders

Petugas Pertubuhan Amal Warisan Semalaysia (PAWS) mengagihkan makanan kepada penghantar makanan E Hailing di sekitar Hospital Rehabiltasi Cheras, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 23 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Prihatin terhadap petugas kesihatan dan penghantar makanan, sebuah badan bukan kerajaan dikenali sebagai Pertubuhan Amal Warisan Semalaysia (PAWS) tampil menyampaikan sumbangan berbentuk pek makanan sebagai menghargai kerja keras mereka yang berada di lapangan.

Pengerusinya, Shamsul Akmal Mohamad berkata, sebanyak 100 pek makanan disumbangkan kepada para petugas di Hospital Rehabilitasi Cheras manakala 100 pek lagi diagihkan kepada penghantar makanan.

“Tujuan sumbangan ini adalah untuk menghargai petugas barisan hadapan kerana seperti yang kita tahu negara masih lagi berada dalam ‘peperangan’ yang belum selesai menentang wabak Covid-19, jadi kita tampil hulurkan sedikit sumbangan kepada mereka.

“Kita turut mengambil peluang mengagihkan pek makanan kepada ‘riders’ seperti Food Panda, Grab Food dan sebagainya kerana mereka juga merupakan sebahagian daripada ‘frontliners’ dan kita menghargai titik peluh mereka bekerja keras menghantar makanan ketika musim pandemik.

“Usaha kami menghulurkan sumbangan juga tidak terhenti setakat di sini dan esok kita akan ke lokasi lain juga untuk menghantar pek-pek makanan kepada ‘frontliners’,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Pengerusi Pertubuhan Amal Warisan Semalaysia (PAWS), Shamsul Akmal Mohamad bergambar bersama makanan untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan di perkarangan Hospital Rehabiltasi Cheras, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 23 JANUARI 2021.

Sementara itu, seorang sukarelawan yang bekerjasama dengan PAWS, Ida Azerin Razali berkata, mereka mula aktif melakukan kerja amal itu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Jelas Ida Azerin, kutipan bagi program tersebut kebanyakannya diterima daripada kenalan dan juga sumbangan peribadi daripada beberapa syarikat konsultan.

“Berapa jumlah pek makanan yang kami sumbangkan kebiasaannya bergantung kepada jumlah derma yang diterima.

“Kami sangat menghargai derma yang disalurkan untuk program ini kerana ia datang daripada pelbagai lapisan kaum,” katanya.

Tambahnya, sumbangan pek makanan kepada ‘riders’ itu dijalankan di beberapa lokasi berbeza dengan membawa papan yang bertulis ‘Free Lunch Box For Riders’. – Malaysia Gazette.