KUALA LUMPUR – Pelik sekali apabila dengan meningkatnya angka pandemik Covid-19 di negara ini saban hari, masih ada pihak yang buat-buat seperti tidak nampak.
Lagi-lagi apabila ia melibatkan golongan pendatang tanpa izin (PATI) yang tahap kesihatan serta cara kehidupan mereka yang menjadi persoalan.
Terbaharu kenyataan oleh Pengarah Jabatan Pengurusan Penjaja dan Pasar, Majlis Perbandaran Klang (MPK), Azhar Samsudin bahawa warga tanpa izin Rohingnya untuk dibenarkan bekerja di Pasar Meru sehingga penghujung April 2021 agak merunsingkan.
Kata Azhar, ia satu keperluan untuk terus membenarkan mereka bekerja memandangkan keadaan sukar tanpa mereka bekerja di pasar tersebut.
Beliau berkata demikian susulan daripada rayuan Persatuan Peniaga Pasar Besar Meru kepada MPK.
Ironinya, kenapa Kementerian Wilayah Persekutuan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mampu memerangi PATI dan pemegang kad UNCHR palsu sedangkan pihak berkuasa tempatan seperti MPK gagal berbuat demikian.
Kebimbangan itu turut dikongsi oleh Presiden Dewan Perniagaan Minoriti (MBC), S. Gobi Krishnan kepada MalaysiaGazette hari ini.
“Bagaimana hendak kerajaan pusat memerangi isu pendatang asing jika kerajaan Pakatan Harapan (PH) seperti di Selangor sambil lewa seperti ini? Bukankah ini adalah masa paling kronik yang mana kes Covid-19 meningkat?
“Kami sesungguhnya amat kesal dengan keengganan kerajaan Selangor di bawah PH yang tidak mahu membantu peniaga tempatan dan pekerja tempatan dengan lebih mengutamakan pekerja asing.
“Umum mengetahui pendatang Rohingya ini rata-ratanya memegang kad palsu UNHCR malahan mereka bukanlah pekerja di pasar tetapi adalah peniaga yang telah mengambil sewa lot pasar dari peniaga tempatan.
“Perkara ini telah menjadi makluman umum tetapi pelik juga mengapa pula MPK dan kerajaan negeri tidak tahu pula?” soalnya.
Menurut Gobi, Rohingnya telah mengambilalih perniagaan di Pasar Besar Meru daripada peniaga tempatan malah perkara yang sama juga turut berlaku di kebanyakan pasar di negeri itu seperti Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan.
“Akan tetapi tiada sebarang tindakan dari kerajaan Selangor dalam hal ini,” katanya.
Bagaimanapun keadaan ini sungguh berbeza dengan komitmed dan azam yang ditunjukan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan yang diterajui oleh Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Dr Santhara Kumar.
“Menteri dan timbalan menteri bertungkus lumus memastikan isu pekerja warga asing serta peniaga di Pasar Borong KL, ingat lagi ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama? Langsung tiada kompromi.
“Walaupun ditekan dengan pelbagai cara sekalipun namun kedua-dua pemimpin tidak langsung tunduk. Pada saya ketegasan Tan Sri Annuar Musa seharusnya dipuji melangit sebenarnya. Beliau langsung tidak pernah kisah dengan mana-mana kritikan,” katanya.
Sebaliknya tindakan membersihkan kumpulan itu juga telah membuka peluang kepada lebih warga tempatan bekerja di Pasar Borong KL, katanya.
“Tolonglah negeri Selangor, janganlah kamu semua bercakap secara gah ketika kempen sahaja tapi bukan membantu mengurangkan permasalahan ini sebaliknya menggalakan lagi adalah.
“Jadikan Pasar Borong KL itu sebagai contoh untuk anda, lagipun ianya sempadan sahaja untuk Selangor. Ketika ini kita dengan penuh bangga boleh mendabik dada mengatakan tidak ada seorang pun peniaga warga asing di dalam Pasar Borong Kuala Lumpur sejak tahun lalu.
“Ini adalah satu rekod baru yang dilakarkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tidak mampu dilakukan oleh mana-mana kerajaan sebelumnya yang memegang tampuk kuasa sebelum ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette
hahahahah.. sebab tuh sebelum tuding jari tuh kena lihat lihat dulu sekeliling adakah kita tuh hidup tanpa kelemahan ka?