KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) telah membantu seramai 350,000 pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 menerusi kemudahan bantuan pembayaran semula pembiayaan dengan melibatkan baki anggaran pembiayaan pelanggan berjumlah kira-kira RM37.9 bilion dari 1 April hingga 31 Disember 2020.
Bank Islam juga telah memberikan bantuan moratorium selama enam bulan dari April hingga September 2020 yang kemudiannya menjadi Program Prihatin Bersasar, khusus untuk pelanggan yang kehilangan pekerjaan serta mengalami pengurangan pendapatan.
Pada November 2020, Bank Islam telah mengumumkan penambahbaikan kepada Program Prihatin Bersasar bagi turut merangkumi golongan B40, M40 dan perusahaan mikro yang terkesan ekoran pandemik ini.
Bagi terus mengurangkan bebanan kewangan pelanggan, Bank Islam juga menyediakan pilihan penjadualan dan penstrukturan semula pembiayaan untuk pelanggan yang tidak mengalami kehilangan atau pengurangan punca pendapatan tetapi mempunyai keperluan untuk menyusun semula kewangan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, sejak pelaksanaan Program Prihatin Bersasar pada Oktober 2020, hampir 24,000 permohonan dengan amaun baki pembiayaan berjumlah melebihi RM3 bilion telah diluluskan di
bawah program tersebut.
Menurut beliau, Bank Islam sentiasa bersedia untuk menerima permohonan pelanggan dan menyeru agar pelanggan tampil dan
menghubungi bank untuk mendapatkan penyelesaian kewangan terbaik yang disediakan.
Bagi memenuhi keperluan perbankan pelanggan, Bank Islam memberi jaminan bahawa perkhidmatan perbankan berterusan boleh dinikmati melalui platform perbankan mudah alih dan dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
ini. – MalaysiaGazette