KUALA LUMPUR – Seorang pesakit Covid-19 sempat meninggalkan nota sebelum cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkat 11 sebuah flat di Bandar Baru Sentul baru-baru ini.
Mangsa seorang warga tempatan berusia 57 tahun itu kini cedera parah dan koma di hospital.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai yang mengesahkan kejadian itu ketika dihubung berkata, kejadian berlaku pada Sabtu lalu.
Polis, katanya, menerima panggilan sekitar pukul 4.30 petang di Pusat Kawalan IPD Sentul menerusi MERS 999 memaklumkan mangsa dijumpai orang awam dalam keadaan terbaring dan cedera parah di lantai tingkat bawah flat
“Pegawai perubatan yang bertugas telah bergegas ke lokasi kejadian sebelum mengesahkan mangsa mengalami cedera di kepala, paru-paru, perut serta patah tangan dan kaki.
“Mangsa kini sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur akibat mengalami kecederaan yang kritikal dan terlantar dalam keadaan koma,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Tambah Eng Lai, kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh diri.
Menurut beliau, polis sedang memperincikan siasatan untuk mengenalpasti punca mangsa cuba membunuh diri dan ahli keluarganya telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.
“Polis menemui nota yang ditinggalkan pada badan mangsa sebelum mendapati nota itu menyatakan dia positif Covid-19 sebelum terjun membunuh diri,” katanya.
Eng Lai menyeru orang ramai agar tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh memudaratkan diri sendiri dan persekitaran hingga mendatangkan bahaya kepada nyawa.- MalaysiaGazette