PETALING JAYA – Sesetengah majikan telah ‘melepaskan’ pekerja asing tanpa dokumen dan membiarkan mereka ‘menentukan nasib sendiri’ apabila Jabatan Imigresen melancarkan operasi besar-besaran bermula 1 Julai lalu.
Ramai majikan tidak mahu memohon E-Kad untuk pekerja asing yang masuk selepas 31 Mac 2016 kerana bimbang berdepan risiko diarahkan menghantar balik pekerja ke negara asal dan menanggung kos penghantaran berkenaan jika permohonan E-Kad tidak diluluskan.
Selain perlu menanggung kos penghantaran, majikan juga perlu membayar kompaun.
“Saya juga mendengar bahawa ada pekerja asing yang gagal mendapat kelulusan permohonan E-Kad dan mereka perlu dihantar balik ke negara asal.
“Majikan bagaimanapun ‘melepaskan’ mereka dan biarkan mereka (di Malaysia) begitu sahaja,” kata Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana, Datuk Michael Kang kepada Sinchew Daily.
Beliau berkata, kebanyakan pekerja asing yang gagal memohon E-Kad adalah mereka yang masuk ke negara ini selepas 31 Mac 2016.
Kerajaan menetapkan pekerja asing yang masuk sebelum 31 Mac 2016 boleh memohon E-Kad.
Persatuan Perusahaan Kecil Sederhana pernah meminta supaya tarikh penentuan itu dilanjut dari 31 Mac 2016 kepada 31 Disember 2016 untuk membolehkan lebih ramai pekerja memohon E-Kad, tetapi permintaan persatuan itu tidak berhasil.
Kata Michael lagi, ada juga majikan yang enggan memohon E-Kad bagi pekerja mereka kerana tidak mahu menanggung yuran pendaftaran antara RM600 hingga RM900 seorang selain kompaun yang perlu dijelaskan.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, permohonan E-Kad gagal mendapat sambutan majikan kerana semua program pemutihan yang dilancarkan kerajaan adalah “hampir serupa”.
Katanya, MEF pernah mencadangkan supaya pekerja asing tanpa dokumen dibenarkan memohon E-Kad secara sendiri dan majikan akan memohon permit mereka selepas E-Kad diluluskan.
Shamsuddin berkata, cadangan MEF itu bagaimanapun telah ditolak oleh kerajaan. – MalaysiaGazette