Home Nasional Benarkan kedai gunting, salon beroperasi

Benarkan kedai gunting, salon beroperasi

Kedai gunting rambut dibenar beroperasi semula dengan SOP tambahan. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa untuk membenarkan kedai gunting rambut dan salun beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Ahli Parlimen Belia Malaysia, Abdul Hakim Hafizi Hamizan berkata, perkara itu harus diteliti dan dipertimbangkan dengan kadar segera kerana bimbang peniaga ini akan kehilangan pendapatan termasuk premis terpaksa tutup kerana tidak dapat membayar sewa.

Menurutnya, walaupun kerajaan tidak membenarkan kedai gunting rambut dan salon beroperasi tetapi ramai pendandan rambut terpaksa menjalankan perniagaan memotong rambut secara ‘rahsia’ di rumah pelanggan untuk menampung kehidupan.

Keadaan ini, dikhuatiri akan lebih menyukarkan pihak berkuasa mengesan punca jangkitan sekiranya berlaku sebarang wabak tempatan.

Oleh itu, kata Abdul Hakim, kerajaan harus memandang perkara itu secara tegas supaya dalam jangka masa pendek ini, negara dapat mengawal peningkatan jumlah pengangguran terutama dalam kalangan belia. – MalaysiaGazette