LAHAD DATU – Tiga beradik lelaki masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, kerana menghalang tugas pegawai kesihatan dengan membawa lari jenazah bapa mereka yang perlu disaring COVID-19 dari Hospital Lahad Datu, Rabu lepas.
Majistret Ryan Sagirann Rayner Jr menjatuhkan hukuman itu terhadap Said Jipri, 27, dan kembarnya, Sabri serta adik mereka Jenrey, 26, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara bersama.
Ryan Sagirann turut memerintahkan kesemua tertuduh dipenjara satu tahun lagi jika gagal membayar denda. Semua tertuduh membayar denda itu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 22(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (a) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Risal Abd Fikkah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap semua tertuduh sebagai pengajaran dengan mengambil kira perbuatan mereka boleh mendatangkan risiko kesihatan ketika pandemik COVID-19, dengan Lahad Datu kini masih dikategori zon merah.
“Ketika kejadian semua tertuduh berasa tertekan, sedih dan hilang pertimbangan selepas mendapat tahu bapa mereka meninggal dunia dan semua tertuduh ketika itu percaya bapa mereka meninggal dunia disebabkan strok serta sesak nafas dan bukan kerana COVID-19,” katanya.
— BERNAMA