KUALA LUMPUR – Kenyataan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim yang menyatakan sokongan untuk bekerjasama dengan UMNO membuktikan sikap DAP yang sanggup mengkhianati dan menggadai prinsip parti itu sendiri semata-mata demi kepentingan dan kuasa.
Inilah wajah sebenar DAP, dakwa Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Lau Chin Kok.
Tambahan pula dengan kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang mahu menjalin kerjasama dengan UMNO membuktikan DAP selama ini sememangnya sebuah parti oportunis sehingga sanggup merendahkan martabat untuk cuba berbaik-baik dengan musuh ketat yang baharu saja mereka kritik seminit lalu.
Lau berkata, alasan DAP kononnya ‘demi kepentingan rakyat, DAP bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti, bagi membentuk sebuah kerajaan pelbagai kaum yang kuat dan stabil’ hanyalah retorik.
Hakikatnya, pemimpin-pemimpin DAP ini hanya menggunakan sokongan rakyat sebagai batu loncatan dan pendirian mereka sentiasa berubah-ubah mengikut kepentingan.
”Sudah berpuluh-puluh tahun DAP menyerang UMNO demi meraih sokongan masyarakat Cina, sehingga mereka membantah apa sahaja dasar UMNO secara membuta tuli.
”Selepas mendapat sokongan majoriti besar kaum Cina, mereka menggunakannya sebagai modal untuk berbaik dengan UMNO dengan cara memuji musuh ketatnya itu bertujuan merampas kuasa dan kedudukan,” katanya.
Tambah Lau, prosedur operasi standard (SOP) DAP adalah mudah iaitu, jika menyerang UMNO boleh memenangkan mereka dalam pilihan raya, maka mereka akan melakukan serangan setiap hari.
Tidak cukup itu, malah DAP menfitnah Barisan Nasional, termasuk memburuk-burukkan gandingan MCA-UMNO bagi tujuan menghasut dan mendapatkan sokongan.
Sebaliknya, jika bekerjasama dengan UMNO boleh membawa kepada jawatan dalam kerajaan, maka tanpa teragak-agak mereka akan cuba memikat UMNO dengan pelbagai naratif untuk menghalalkan tindakan mereka, bagi membolehkan kerjasama antara DAP-UMNO.
”Beginilah sikap DAP. Setelah terkuburnya Pakatan Rakyat, DAP terus menghentam Pas sebagai parti ekstremis.
”Walau bagaimanapun, demi kuasa dan jawatan, mereka boleh pula bekerjasama dengan Pas bagi membentuk Kerajaan Negeri Selangor.
”Ini menunjukkan bahawa, demi kepentingan dan jawatan, DAP sanggup menggadai prinsipnya, malah mengkhianati rakyat. Sebagai sebuah parti opotunis, sokongan rakyat hanyalah sebagai modal untuk mereka ‘membeli’ kepentingan sendiri,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
Hahaha.. maksud Lau dr MCA ni, UMNO ialah parti yg rendah martabat? Sbb dia kata DAP merendahkan martabat diri utk kerjasama ngan UMNO.
Tahniah UMNO, rakan baik anda sendiri pandang anda mcm tu. BERSATU yg anda musuhi dan attack segenap pelusuk sendiri tak pernah label anda serendah tu. Hahaha