Home Ekonomi Harga beras import naik tapi selalunya tak cecah 10%

Harga beras import naik tapi selalunya tak cecah 10%

KUALA LUMPUR – Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (BARIM) percaya kenaikan harga beras import yang dijangka pada akhir tahun ini tidak mencecah 10 peratus memandangkan harga beras itu sudah dinaikkan pada bulan Mei lalu.

Presidennya, Ismail Awang berkata, meskipun harga beras import tidak dikawal oleh kerajaan sepenuhnya tetapi Bahagian Kawalan Padi, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan melakukan pemantauan.

Lagipun, Beras Nasional (Bernas) masih merupakan pemegang lesen import tunggal bagi beras negara.

“Macam kenaikan Mei lalu, Bernas awal-awal sudah bagi notis kenaikan beras pusa (basmathi) dan kenaikannya berlaku tetapi sedikit sahaja, tidak sampai pun 10 peratus.

“Industri memang terpaksa menaikkan harga disebabkan penyusutan ringgit dan perkembangan komoditi dunia tetapi Bernas selalu mengambil kira kesan-kesan jika kenaikan melampau” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ismail mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang tidak menolak kemungkinan harga beras import akan meningkat pada masa akan datang kerana komoditi itu bukanlah barangan kawalan dan harganya bergantung pasaran beras dunia.

Katanya, kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk mengawal harga siling beras import di pasaran tempatan tetapi dari segi peraturan ia tidak boleh dijual lebih murah daripada beras tempatan bagi melindungi industri beras negara.

Ahmad Shabery berkata, ada tanda-tanda bahawa beras dunia sudah mula meningkat kerana dulunya harga beras import pasaran dunia satu tan metrik adalah lebih kurang AS$340 (RM1,461) hingga AS$350 (RM1,504), sekarang ini sudah ada tanda-tanda berkemungkinan meningkat AS$400 (RM1,719) per tan metrik.

Ismail berkata, kenaikan beras juga bergantung kepada jenis dan kategori beras import yang ada dalam pasaran termasuk Monghul, praboiled, kukus dan sebagainya.

Ia juga bergantung kepada gred beras tersebut.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Pemborong Beras Wu Zi Lian meramal harga beras import akan naik sebanyak 10 peratus selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, walaupun berlaku kenaikan harga komoditi itu tetapi setakat ini ia tidak melibatkan harga beras biasa. – MalaysiaGazette