Home Ekonomi Syarikat awam tidak tersenarai perlu patuhi garis panduan prospektus, undang-undang SC

Syarikat awam tidak tersenarai perlu patuhi garis panduan prospektus, undang-undang SC

SC Securities Commission Azam Baki SICDA
Bangunan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 26 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengingatkan syarikat awam tidak tersenarai (UPC) yang ingin mengumpul dana daripada orang ramai agar mematuhi Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) dan garis panduan yang berkaitan, terutamanya apabila tawaran itu dibuat kepada pelabur runcit.

Peringatan ini susulan SC menerima peningkatan jumlah pertanyaan dan aduan yang berkaitan dengan UPC yang menawarkan sahamnya, termasuk saham keutamaan, kepada pelabur runcit dan sofistikated.

Dalam kes tertentu, saham tersebut dipasarkan atau ditawarkan melalui panggilan telefon, diikuti dengan mesyuarat bersemuka dengan ejen UPC.

CMSA menghendaki prospektus diterbitkan apabila saham UPC ditawarkan kepada pelabur runcit. Prospektus tersebut juga perlu didaftarkan dengan SC.

UPC tidak perlu menerbitkan prospektus hanya apabila saham tersebut diterbitkan sepenuhnya kepada pelabur sofistikated yang dihuraikan atau ditetapkan di bawah Jadual 6 dan 7 CMSA.

Menurutnya, Jadual 6 dan 7 CMSA. Pelabur sofistikated merangkumi individu bernilai bersih tinggi (dengan ambang aset bersih sebanyak RM3 juta, tidak termasuk nilai kediaman utama), entiti bernilai bersih tinggi dan pelabur bertauliah.

”SC ingin mengingatkan UPC bahawa penawaran saham kepada pelabur runcit tanpa prospektus merupakan salah laku serius di bawah CMSA dan seseorang yang didapati bersalah boleh  dihukum denda tidak melebihi RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya.

”Walaupun CMSA tidak mewajibkan penerbitan memorandum maklumat (IM), UPC yang menerbitkan IM untuk menawarkan sahamnya kepada pelabur sofistikated dikehendaki menyerahkan IM tersebut kepada SC. UPC juga dikehendaki menjelaskan dalam IM bahawa walaupun IM tersebut diserahkan kepada SC, kelulusan SC adalah tidak diperlukan bagi penawaran saham tersebut,” katanya di sini.

UPC bertanggungjawab untuk menyediakan semua maklumat yang relevan kepada pelabur, termasuk pelabur sofistikated untuk membolehkan mereka membuat penilaian bermaklumat, termasuk merit melabur dalam saham UPC dan tahap risiko yang terlibat.

Sebelum melabur dalam saham UPC, pelabur hendaklah mendapatkan serta membaca kandungan prospektus atau IM yang didaftarkan untuk memahami jenis dan risiko pelaburan mereka, terutamanya bagaimana pelaburan mereka akan digunakan oleh UPC.

Mereka juga hendaklah membuat kajian mereka sendiri dan jika perlu, mendapatkan nasihat profesional. – MalaysiaGazette