Home Nasional Empat negeri jadi perintis ujian nadir bumi

Empat negeri jadi perintis ujian nadir bumi

KUALA LUMPUR – Kelantan merupakan empat negeri yang dikenal pasti sebagai lokasi penyelidikan dan pembangunan ujian rintis perlombongan nadir bumi tidak beradioaktif (NR REE).

Perkara itu dijelaskan Ketua Pengarah Eksekutif Greensnow Technology Sdn Bhd (GTSB), Datuk Nik Abdul Mubin Nik Mahmood apabila memberitahu, turut dikenal pasti adalah Perak, Pahang dan Kedah.

“Banyak lokasi untuk tujuan ini dikenal pasti di negara kita ini namun untuk permulaan kerja-kerja praperlombongan akan dimulakan di Kelantan, Perak, Pahang dan juga mungkin Kedah,” katanya.

Beliau berkata, GTSB bersedia menjalankan kerja praperlombongan itu dalam masa terdekat.

“Setelah mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk beroperasi, kita akan terus mulakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Penyerahan Balas Dokumen Perjanjian Kerjasama (MoA) antara GTSB dan Kerajaan Malaysia yang diwakili oleh Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia).

Majlis itu dijalankan secara dalam talian dan turut disertai Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, Dr Siti A’iasah Hashim dan beberapa tokoh akademik.

Melalui kerjasama itu, Nuklear Malaysia menerusi Bahagian Teknologi dan Pengurusan Sisa dan Alam Sekitar (BAS) telah diberi kepercayaan oleh GTSB untuk menjalankan projek kerjasama penyelidikan bagi meneroka nadir bumi.

Kos projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) dibiayai sepenuhnya GTSB berjumlah RM450,500.

Tempoh diperuntukkan untuk R&D adalah selama 12 bulan dengan menggunakan teknik ‘insitu leaching’ untuk meleraikan unsur unsur nadir bumi yang berharga seperti neodymium, praseodymium, cerium dan lain-lain yang terdapat dalam tanah liat dan batuan.

Nik Abdul Mubim berkata, menerusi output projek tersebut, ia dapat menghasilkan informasi berkaitan keadaan keselamatan tanah dan air tanah sebelum kerja perlombongan dimulakan.

“Ini sekali gus mendapat gambaran berkaitan dengan sifat fizikal dan kimia air tanah serta impaknya sebelum perlombongan dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, sebagai sebuah institusi penyelidikan awam dengan pengkhususan dalam penggunaan teknologi nuklear secara aman, Siti A’iasah berkata, kepakaran penyelidik di agensinya serta fasiliti mampu membantu pihak industri.

“Sejak kebelakangan ini nadir bumi telah menarik perhatian pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan industri berkaitan.

“Nuklear Malaysia menyambut baik lamaran pihak GTSB menjalankan penyelidikan untuk meluaskan industri nadir bumi di Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette