KUALA LUMPUR – Seorang warga Bangladesh mengambil kesempatan dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menjual ubat-ubatan serta barangan kosmetik tanpa kelulusan akhirnya memakan diri.
Suspek lelaki berusia 31 tahun ditahan ketika sedang berlegar-legar memandu kereta Toyota Innova di sekitar ibu kota akhirnya dicekup polis minggu lepas.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, pihaknya turut merampas ubat tiruan, seludup serta barangan kosmetik lain yang tidak mendapat sebarang kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Kita bertindak selepas mendapat maklumat tentang aktiviti seumpama ini, hasil rampasan bernilai kira-kira RM14,000 dan siasatan mendapati suspek sudah aktif sejak tiga bulan ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Antara barangan dirampas ialah botol ubat batuk jenama Tusca Plus Expectorant (1006 botol), 10 paket paket herba kosmetik jenama Ratan Patti Zarda, 40 kotak ubat Oralsaline-N dan 191 botol minuman tenaga jenama ubat Ginsin–Plus.
“Semua ini tidak ada kelulusan KKM dan ada antaranya barangan seludup serta tiruan juga, kita buat tangkapan pada 19 Januari lepas dan suspek telah ditahan reman sehingga 2 Februari ini bawah Seksyen 51(5)(B) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Sambung Mohamad Zainal, siasatan polis telah selesai dan suspek akan dituduh di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Peraturan 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah Dan Kosmetik 1984 esok.
“Hukuman bagi pertuduhan pertama adalah denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.
“Hukuman bagi pertuduhan kedua pula denda tidak lebih daripada RM25,000 atau penjara tidak lebih dari tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohamad Zainal menyeru orang awam untuk segera tampil membantu dalam menyalurkan sebarang maklumat kegiatan pengedaran dan penjualan ubat-ubatan yang tidak mendapat kelulusan di sekitar daerah Dang Wangi.
Jika ada maklumat, orang awam boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Hotline Polis Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana Balai Polis berhampiran.
“Perbuatan seperti ini tidak akan sesekali dikompromi dan marilah kita bersama-sama bantu sesama sendiri perangi jenayah ubat-ubatan tiruan serta tidak mendapat kelulusan seperti ini kelak,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: