KUALA LUMPUR – Malaysian Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC) menyasarkan untuk meningkatkan rangkaian perniagaan antara yang dibiayainya dan syarikat tempatan lain di luar ekosistemnya dengan Persatuan Taman Sains Asia (ASPA).
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Norhalim Yunus berkata, langkah ini akan memberi manfaat kepada syarikat melalui pengambilalihan dan pemindahan teknologi, pengedaran dan usaha sama, selain mengurangkan risiko mencari rakan kongsi asing yang tidak tulen.
“MTDC berharap semua perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia akan berkembang menjadi celik teknologi dan meningkatkan kandungan teknologi susulan ia memperluaskan rantaian nilai.
“Kadangkala teknologi yang diperlukan mungkin tidak didapati di sini, seperti, dalam robotik. Oleh itu, kita memerlukan rakan pakar asing dalam kalangan ahli ASPA untuk berkembang,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian pada sesi padanan perniagaan anjuran bersama MTDC dan ASPA Korea Selatan di sini.
Norhalim berkata, dalam usaha untuk menggalakkan kerjasama dengan ASPA, sekurang-kurangnya enam usahawan mahasiswa Malaysia, akan dihantar ke Kyungpook National University, Korea Selatan selama dua minggu untuk mempelajari teknologi Asia.
“Kami juga akan mengetengahkan beberapa syarikat kami di persidangan tahunan ASPA di Ho Chi Minh City, Vietnam, dari 19-21 Okt,” katanya.
Sebanyak 22 syarikat dari Korea Selatan, Indonesia, Iran dan Taiwan daripada industri penjagaan kesihatan, teknologi maklumat dan komunikasi, elektronik/elektrik, jentera, automasi, robotik serta reka bentuk produk, kecantikan dan alam sekitar, menyertai sesi hari ini.
“Ini merupakan sesi padanan perniagaan yang kedua. Pada tahun lepas, sebanyak lebih 100 syarikat tempatan menyertai acara itu.
“Sebanyak 60 syarikat Malaysia turut mengambil bahagian pada tahun ini. Kami akan memastikan saluran dibuka selepas sesi hari ini berakhir untuk menggalakkan rangkaian,” katanya.
ASPA, sebuah pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa, mempunyai kira-kira 60 organisasi taman sains di lebih 20 negara dengan matlamat untuk mencapai pembangunan bersama dalam bidang teknologi saintifik, industri dan ekonomi di Asia.
MTDC adalah anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd, ditubuhkan untuk menggalakkan syarikat tempatan menggunakan teknologi, melalui pengkomersialan teknologi asing melalui penyelidikan dan pembangunan. – MalaysiaGazette