PETALING JAYA – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diadakan pada sebelah malam untuk meningkatkan kehadiran pelajar dan memudahkan ibu bapa melakukan pemantauan.
Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan berkata, masalah kehadiran yang tidak memuaskan adalah didorong oleh pelbagai faktor termasuk kemudahan dan rangkaian Internet yang kurang memuaskan, isu kekurangan kelengkapan di rumah, data Internet yang tidak cukup dan ibu bapa yang perlu bekerja dan tidak dapat memantau anak.
“Ini merupakan masalah seluruh negara kerana kami mempunyai ramai pelajar dari keluarga kurang berada.
“Banyak keluarga hanya mampu membeli satu komputer riba dan satu telefon pintar sehingga adik perlu berebut dengan kakak dan abang,” katanya kepada Sinchew Daily.
Harry berkata, NUTP justeru mencadangkan satu alternatif yang radikal iaitu mengadakan PdPR pada waktu malam.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa cadangan itu perlu menerima persetujuan semua pihak sebelum dilaksanakan.
Harry juga berharap kerajaan dapat mengalakkan lebih banyak syarikat, organisasi dan individu untuk membantu pelajar miskin membeli kelengkapan baharu atau gajet kedua.
Ujarnya, harga pakej Internet untuk tujuan pendidikan juga harus dikurangkan.
Sementara itu, menurut seorang cikgu sekolah menengah, kehadiran pelajar dalam PdPR, khususnya mereka bukan daripada “kelas cemerlang” adalah membimbangkan.
Kata cikgu itu, kehadiran pelajar daripada “kelas cemerlang” adalah memuaskan, tetapi keadaan adalah sebaliknya untuk kelas lain.
Katanya, disebabkan sekolah baru bermula, pelajar masih aktif menghadiri kelas, tetapi jumlah pelajar daripada kelas bukan cemerlang sudah mula merosot.
“Dalam kelas saya, kehadiran penuh sebanyak 30 pelajar telah dicatatkan pada hari pertama persekolahan, tetapi jumlahnya menurun kepada 20 lebih orang saja pada hari kedua dan hari ketiga,” katanya.
Ujarnya, keadaan pada tahun lalu adalah kehadiran 80 peratus untuk “kelas cemerlang” manakala hanya enam hingga tujuh orang daripada 30 orang yang hadir untuk kelas lain.
“Pelajar juga mungkin hadir untuk tujuan pendaftaran sahaja dan cikgu tidak tahu sama ada mereka betul-betul menghadiri kelas,” katanya. – MalaysiaGazette