Home Nasional SOP perlu dikekalkan walapun sudah ambil vaksin

SOP perlu dikekalkan walapun sudah ambil vaksin

Orang ramai perlu kerap membasuh tangan dalam memastikan kebersihan diri. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Orang ramai masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia walaupun selepas menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Pakar Perunding Perubatan Keluarga dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr Mohd Nazri Mohd Daud berkata, ini penting untuk menjamin keselamatan diri dan orang sekeliling.

”Vaksin yang disuntik adalah bagi mengaktifkan sistem imuniti dalam badan untuk melawan atau mencegah penyakit, sekali gus mampu membendung penularan penyakit.

”Walaupun data ujian klinikal menyatakan hampir 95% keberkesanan vaksin tersebut terhadap virus Covid-19, namun adalah lebih baik sekiranya SOP terus dipatuhi kerana virus Covid-19 sesuatu yang baru dan kompleks dan masih memerlukan kajian serta
pengumpulan data jangka panjang untuk dibendung secara berkesan,” katanya.

Dr Nazri Daud

 

Nazri berkata, golongan yang terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19 amat digalakkan untuk mengambil vaksin apabila vaksin tersebut boleh didapati di Malaysia kelak.

Jelasnya, walaupun penghasilan vaksin dalam tempoh singkat, vaksin yang diperoleh dari syarikat seperti Pfizer dan BioNTech telah menjalani ujian pra-klinikal dan tiga fasa klinikal dan hasil pengumpulan data menunjukkan keberkesanan yang tinggi terhadap vaksin tersebut.

Vaksin ini perlu kerana sekiranya tiada vaksin masyarakat akan hidup dalam situasi pandemik dalam tempoh masa yang panjang, tambah beliau.

Ujar Nazri, empat kategori golongan yang perlu diutamakan bagi pengambilan vaksin ialah petugas barisan hadapan, warga emas, individu yang mempunyai sejarah penyakit-penyakit tertentu seperti penyakit kronik, kencing manis dan sebagainya dan mereka yang memerlukan lebih perlindungan seperti ibu mengandung atau ibu yang menyusukan anak. – MalaysiaGazette