SEPANG – Polis berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 untuk warga asing menerusi tangkapan lima lelaki warga Pakistan baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Asisten Komisioner Imran Abd Rahman
berkata, aktiviti sindiket dikenali Geng Habib itu terbongkar selepas polis menahan dua lelaki warga Pakistan di KLIA yang ingin pulang ke negara asalnya.
Kedua-dua lelaki berumur 28 dan 37 itu ditahan pada 20 Januari lalu kerana mengemukakan dokumen palsu keputusan Covid-19 ketika mahu berlepas pulang menggunakan penerbangan Emirates ke Pakistan.
“Susulan penahanan dua lelaki itu polis mendapat maklumat dan mengesan seorang lelaki warga Pakistan berumur lingkungan 20-an pada 22 Januari lalu di Telok Gong, Klang dipercayai agen sindiket terbabit,
“Hasil soal siasat polis menahan seorang lagi ejen sindiket itu di kediamannya di Taman Tampoi Indah, Johor Bahru,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Imran berkata, siasatan terhadap kedua-dua ejen terbabit, polis berjaya mengesan seorang lagi warga Pakistan yang merupakan perancang sindiket berkenaan.
Berdasarkan maklumat awal, pihaknya mendapati sindiket berkenaan menjalankan aktivitinya sejak Ogos tahun lepas dengan tujuan mengabui mata pihak berkuasa menggunakan dokumen palsu itu untuk berlepas pulang ke negara asal.
Menurutnya lagi, sindiket terbabit dipercayai telah menjual lebih 50 dokumen palsu saringan Covid-19 kepada pelanggan yang kesemuanya warga Pakistan.
Bagaimanapun Imran mengesahkan, setakat ini tidak ada kakitangan hospital mahupun klinik yang dijadikan ‘kambing hitam’ dengan sindiket terbabit.
Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana melakukan jenayah memalsukan dokumen.
Sabit kesalahan pelaku boleh dihukum penjara selama tempoh hingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette
haha alahai Kerajaan Melayu UMNO dari dulu…pendatang haram Pakistan pun ada imigresen sendiri… tepuk dahi…. imigresen tutup kedai lah… pegawai rendah berebut duit dari Cina nak balek haha 900,000 hampir…