KUALA LUMPUR – Sebanyak 74.8% responden mengakui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 mencabar namun masih boleh diharungi sementara 17.8% lagi akui tiada masalah langsung dan 7.5% pula mengatakan tidak mampu mengharunginya.
Keputusan ini hasil kaji selidik yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Undian UCSI yang membabitkan 951 orang responden di empat negeri iaitu di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.
Menariknya, majoriti responden daripada kumpulan umur yang lebih muda (25 tahun dan ke bawah) dan kumpulan umur yang lebih tua (56 tahun dan ke atas) menunjukkan mereka mampu mengharungi PKP dengan lebih baik berbanding dua kumpulan umur yang lain.
Sementara itu, responden dari kawasan bandar menunjukkan keputusan mampu mengharungi PKP 2.0 berbanding responden yang tinggal di kawasan separa bandar dan luar bandar.
Ditanya sekiranya PKP ini terus disambung untuk tempoh yang lebih lama, keputusan mendapati 74.3% responden merasakan ia mencabar namun masih boleh diharungi manakala 12.2% lagi berpendapat tiada masalah langsung dan 13.5% pula merasakan mereka tidak mampu mengharunginya.
Kaji selidik itu turut mendapati faktor kewangan memberi cabaran utama iaitu 61.4%, diikuti interaksi sosial 51.6%, kesihatan mental 49.2%, bekerja 48.9% dan membeli barang dapur/keperluan 24.5%.
Kaji selidik sama turut mendapatkan pandangan responden sama ada mereka bersetuju bahawa peningkatan kes Covid-19 disebabkan kecuaian orang awam mengikuti SOP yang ditetapkan dan keputusan mendapati 68% berkata Ya manakala 18% lagi memilih Tidak sementara 14% lagi berkata
Tidak Pasti.
Pusat Penyelidikan Undian UCSI mendapati orang awam sudah menunjukkan penyesuaian dengan PKP 2.0 dalam aktiviti membeli barang dapur/keperluan dan bekerja, yang mana industri dan peniaga dilihat lebih matang dalam mengurus mekanisma bekerja dan bekalan berbanding PKP tahun lalu.
Kewangan dilihat menjadi cabaran utama bagi kebanyakan individu susulan banyak aktiviti yang terhenti bagi memastikan rantaian Covid-19 terputus dan ini mungkin menjejaskan pendapatan mereka.
Kaji selidik itu turut mendapati penerimaan terhadap PKP 2.0 ini juga berbeza megikut kawasan tempat tinggal responden.
Faktor kekurangan infrastruktur seperti capaian Internet dan bekalan mungkin menjadi kayu ukur yang menyebabkan responden di kawasan separa bandar dan luar bandar melihat PKP 2.0 ini lebih mencabar. – MalaysiaGazette