Home Utama Kini Kembung di Kuala Kedah RM4 sekilo

Kini Kembung di Kuala Kedah RM4 sekilo

Gambar hiasan

KUALA KEDAH – Kini harga kembung di Kuala Kedah dijual pada harga RM4 sekilogram berbanding antara RM22 dan RM25 tiga bulan lalu.

Penurunan harga ini dikatakan disebabkan berlaku lambakan ikan kembung.

“Tinjauan Bernama di pelantar ikan Seberang Kota mendapati orang ramai berpusu-pusu seawal pukul 9 pagi bagi mendapatkan ikan kembung yang baru didaratkan.

“Petang semalam lambakan menyebabkan saya menjual pada harga RM10 bagi tiga kilogram ikan kembung kerana ikan terlalu banyak dan tidak boleh disimpan lama bagi mengelak ikan daripada menjadi busuk dan lembik,” kata seorang peniaga, Khadijah Mat Shah, 42, yang menambah harga merudum sejak hari raya kedua.

“Setiap nelayan membawa balik tangkapan antara 200 hingga 1,300 kilogram ikan, menyebabkan peniaga tidak sempat menghabiskan ikan mereka dan lelongan ikan akan dibuat,” tambahnya.

Seorang lagi peniaga Mohd Fisol Mat Isa, 48, berkata walaupun berlaku lambakan, beliau dapat menjual 200 kilogram ikan hari ini kerana mendapat permintaan dari pelanggan.

“Ikan banyak pun kita dapat jual. Saya jangkakan tangkapan nelayan akan berterusan berdasarkan keadaan cuaca yang dilaporkan baik untuk beberapa hari lagi,” katanya.

Seorang pembeli Melati Ladun, 34, berkata ikan-ikan yang dijual sini bukan sahaja murah tetapi segar kerana belum disejukbekukan lagi.

“Ikan jenis ini lebih manis kerana ia ditangkap menggunakan pukat tali tangsi dan tidak dimasukan ais atau dibekukan lagi. Jadi orang ramai boleh datang membeli sebanyak mana pun yang mereka mahu kerana stoknya terlalu banyak,? katanya.

Hamid Desa, 56, berkata ikan kembung yang murah mampu meringankan beban rakyat yang dihimpit kenaikan kos sara hidup.

Ikan kembung adalah ikan rakyat dan apabila ia murah, ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban rakyat yang dihimpit kenaikan kos sara hidup.

“Saya harap ikan murah akan berterusan sampai bila-bila,? katanya.

— BERNAMA