KUALA TERENGGANU – Terengganu FC (TFC) melengkapkan kuota lima pemain importnya selepas mengikat Makan Konate bagi memperkuat pasukan dalam menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Menurut TFC dalam kenyataan hari ini, pemain berasal dari Mali yang juga bekas kapten pasukan Persebaya Surabaya itu diikat kontrak selama setahun bersama skuad Penyu.
“Konate adalah nama yang tidak asing bagi peminat bola sepak Terengganu menerusi penampilan sulungnya dalam kancah liga tempatan bersama pasukan T-Team pada 2016 hingga 2017 dan beliau kini sangat gembira dan teruja untuk sekali lagi berada di bumi Sang Penyu.
“Kali ini, Konate bersama David da Silva yang juga rakan sepasukannya di Persebaya. Gandingan ini dijangka akan bersama-sama mengemudi barisan utama TFC,” menurut kenyataan itu.
Menurut TFC, pemain berusia 29 tahun itu sangat komited di atas padang itu dan memilih mengekalkan jersi nombor 10 yang disifatkannya amat dekat dan sempena tarikh kelahirannya.
“Dengan ketinggian 1.78 meter, kemampuan dan rekod yang beliau miliki sebagai seorang pemain penyerang tengah dilihat sangat baik terutama pada saingan Liga 1 Indonesia 2018 hingga 2019 dengan 29 gol dalam 51 penampilan, sebelum kancah Liga 1 Indonesia tergantung selepas hanya beberapa perlawanan pada musim 2020 akibat pandemik COVID-19,” menurut kenyataan itu.
Selain Konate, empat lagi pemain import yang bakal menyarung jersi TFC ialah bekas pemain pasukan Liga Satu Thailand Chonburi FC, Carli de Murga; bekas pemain Liga Perdana Inggeris Aston Villa, Christopher Herd; pemain berasal dari Namibia yang sebelum ini bersama skuad Sabah, Petrus Shitembi; dan Da Silva.- BERNAMA