SUBANG JAYA – Walaupun sudah berkali-kali diserbu pihak berkuasa dan dikenakan tindakan namun enam premis di Taman Perindustrian Puchong Utama, Bukit Puchong dekat sini tidak serik menjalankan aktiviti loteri haram.
Menerusi Op Dadu yang dijalankan oleh anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya kira-kira pukul 5.30 petang tadi, empat kedai aksesori telefon, sebuah premis tambah nilai kad, sebuah kedai pajak gadai serta sebuah restoran diserbu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman berkata, menerusi serbuan yang dijalankan seramai 20 individu ditahan dengan 11 daripadanya merupakan penjaga premis manakala sembilan lagi pelanggan.
“Salah sebuah kedai aksesori telefon yang diserbu, kita telah menahan seorang wanita Melayu dan seorang wanita Orang Asli. Untuk makluman, wanita Melayu tersebut sudah tiga kali ditangkap termasuk hari ini.
“Turut dirampas dalam operasi ini adalah 11 buah telefon bimbit, 52 keping kertas pertaruhan, 10 buah mobile printer dan wang tunai berjumlah RM5,060.
“Berdasarkan semakan yang dibuat juga mendapati sebanyak enam serbuan telah dijalankan ke atas premis-premis sekitar kawasan ini iaitu empat kali sepanjang bulan ini manakala dua lagi serbuan dilakukan tahun lalu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi serbuan hari ini.
Menurut Abd. Khalid, kesemua premis berkenaan didapati telah beroperasi sekitar tiga hingga empat bulan lalu dengan kebanyakan pelanggan membabitkan warga asing.
Siasatan awal mendapati premis-premis yang menawarkan aktiviti loteri haram itu bersaing antara satu sama lain dan bukan dari sindiket yang sama.
Tambah Abd. Khalid, penjaga premis yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 sehingga RM200,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.
Manakala pelanggan pula akan disiasat di bawah Seksyen 9(1) ARJT 1953 dan Seksyen 22b Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988. – MalaysiaGazette