KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) tiada halangan sekiranya mana-mana pihak berminat untuk mengambil alih syarikat Penang Footbal Club (FC).
Bagaimanapun pihak terbabit perlu berwibawa dan menunjukkan kemampuan dari segi kelestarian kewangan untuk menguruskan syarikat Penang FC demi kemajuan bola sepak Pulau Pinang.
Presiden FAP, Datuk Abdul Rashid Ismail berkata, pengambilalihan itu selari dengan hasrat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysia Football League (MFL) agar pengurusan pasukan bola sepak kelab dan penyertaan dalam liga bola sepak profesional kebangsaan (Liga Malaysia) lebih profesional, berfokus dan lestari dari segi kewangan.
“Ini juga sudah pasti akan melenyapkan kebergantungan sumber kewangan daripada kerajaan negeri bagi tujuan penyertaan profesional pasukan-pasukan bola sepak dalam Liga Malaysia pada setiap tahun.
“Pihak FAP tidak akan berkompromi dengan usaha pengambilalihan yang tidak selaras dengan hala tuju bola sepak dan lebih kepada kepentingan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook Penang FA di sini.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Abdul Rashid berkata, sebaiknya pengambilalihan syarikat Penang FC perlu juga mendapat restu daripada kerajaan negeri Pulau Pinang memandangkan selama ini segala aktiviti FAP sentiasa mendapat sokongan moral dan kewangan daripada kerajaan negeri.
Katanya, FAP berharap dengan pembentukan syarikat Penang FC, pengurusan pasukan-pasukan Piala Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia akan lebih profesional dan tersusun dengan sumber kewangan yang lebih kukuh.
“FAP juga sedang berusaha dan komited ke arah pembangunan bola sepak untuk memperkasakan program peringkat negeri dengan mengadakan semula liga divisyen sempena sambutan penubuhan FAP yang ke 100 tahun ini.
“Dalam masa sama, kami juga berharap kerajaan negeri, peminat serta penyokong bola sepak Pulau Pinang dapat bersama ke arah kemajuan ini,” katanya. – MalaysiaGazette