Home Seni Hidup Hubungan kami baik dan positif – Neelofa

Hubungan kami baik dan positif – Neelofa

Neelofa mengikat pertunangan dengan PU Riz pada 1 November lalu.

KUALA LUMPUR – Selebriti popular, Neelofa mengesahkan hubungannya dengan pendakwah bebas, Haris Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz masih baik.

Neelofa atau nama sebenar, Noor Neelofa Mohd Noor, 32, memberitahu, hubungan dengan tunangnya berusia 26 tahun itu kini kembali positif.

Usahawan dan bekas pengacara itu menjelaskan kontroversi hubungan dengan Riz yang dikatakan bergolak bulan lalu berlaku kerana salah faham.

“Alhamdulillah, hubungan kami baik-baik sahaja dan positif. Apa yang terjadi baru-baru ini, hanyalah salah faham.

“Cerita yang tidak berasas hanya memburukkan keadaan. Sejak insiden itu, hubungan kami okay sahaja,” katanya pada sidang media virtual sempena pelancaran aplikasi gaya hidup Islam, The Noor yang dibangunkannya di sini hari ini.

“Tipu kalau saya cakap dalam perhubungan, tidak ada pahit manis dan naik turun. Kami juga melalui pengalaman sama.

“Ada masa timbul salah faham yang mengganggu perhubungan. Tetapi kami berjaya tangani cabaran itu dengan baik.

“Kami banyak berbincang dan saling berkomunikasi. Kini semuanya semakin baik dan positif. Dalam hal ini, keluarga turut membantu,” katanya.

Mengenai hubungan dua keluarga dikatakan dingin berikutan perkongsian ahli keluarga Neelofa dalam media sosial berhubung kontroversi tercetus seolah-olah ditujukan kepada pendakwah itu, Neelofa berkata:

“Alhamdulillah, hubungan keluarga dengan Harris baik. Dalam hal ini, kami berdua yang perlu bijak memainkan peranan. Ketika keadaan tegang, saya beri peluang kepada semua orang untuk bertenang terlebih dahulu,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan bernikah pada Mac depan, Neelofa berkata, perkara itu akan dikongsi dalam sidang media berasingan tidak lama lagi.

Mengenai aplikasi The Noor yang boleh dimuat naik mulai semalam, Neelofa yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Noor Luminous Sdn Bhd, berkata, pihaknya meletakkan sasaran sejuta pengguna.

Aplikasi yang diwujudkan hasil perkongsian tiga rakan kongsi itu dilengkapi pelbagai ciri khas seperti waktu solat, arah kiblat dan lokasi masjid berdekatan.

Selain itu, The Noor menawarkan fungsi tafsir al-Quran dalam lima bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil dan bahasa Indonesia.

Apa yang menariknya, terjemahan dalam bahasa Melayu dilakukan oleh Neelofa sendiri. – MalaysiaGazette