Home Pendapat Cabaran PdPR: Apa sudah jadi?

Cabaran PdPR: Apa sudah jadi?

(Picture for representational purposes only) An orang asli student from the Temuan Tribe, Muhammad Jumaidi Omer Faruk, 14, doing his school homework in conjunction with the home-based teaching and learning (PdPR) at Kampung Pangsun, Hulu Langat, Selangor. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 25 JANUARY 2021. free 1GB mobile data internet
Foto hiasan

PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia memberikan impak yang besar kepada pelbagai
sektor khususnya sektor pendidikan. Oleh itu, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah
(PdPR) secara dalam talian telah diwajibkan apabila bermulanya sesi persekolahan pada
tahun 2021, yang sebahagiannya telah dilakukan pada tahun lalu.

Persoalannya, bersediakan guru dengan mekanisme pengajarannya? Bersediakan murid
dengan peranti pembelajaran dan akses Internetnya? Bersediakan ibu bapa untuk
menyediakan kemudahan PdPR sepenuhnya?

Masalah demi masalah timbul akibat ketidaksediaan ibu bapa, guru dan murid dalam sesi
norma baharu pendidikan bermula tahun lepas sehingga kini, semasa PdPR dilaksanakan.
Bagi pihak guru, pastinya mereka sudah mempunyai banyak bahan untuk dikongsi dengan pelajarnya semasa PdPR berlangsung. Namun, sejauh mana mereka mampu
mengendalikan kelas dalam talian tanpa mekanisme dan kaedah pengajaran yang jelas?
Cukupkah hanya diberi arahan supaya melaksanakan PdPR?

Bagi ibu bapa terutamanya dalam golongan B40 dan tinggal di luar bandar ditambah pula
dengan mereka yang miskin tegar, ia menjadi masalah besar kerana ketidakmampuan
mereka menyediakan peranti berasingan dan akses data Internet yang besar untuk anak-
anak mereka yang bersekolah. Dalam masa yang sama, ibu bapa yang bekerja dari rumah terpaksa mengendalikan dan
memantau masalah teknikal untuk anak-anak belajar dalam talian. Tidak kurang juga ibu
bapa yang terpaksa bergilir-gilir mengambil cuti untuk menjaga anak yang sedang belajar.

Di pihak pelajar terutamanya di luar bandar, mereka yang mempunyai peranti belajar
terpaksa ke bukit atau ke hutan kerana liputan akses Internet yang terhad di rumah, dengan risiko keselamatan mereka di sana. Mereka juga ada yang bersemangat untuk belajar tapi hampir putus harapan atau tidak hadir langsung kelas dalam talian kerana bukan sahaja tiada akses Internet atau liputan Internet yang tidak kuat di kawasannya, bahkan peranti belajar pun tiada!

Menurut Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin, Kajian Kesediaan Murid dalam Pembelajaran
Secara dalam Talian telah dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) antara 28
Mac hingga 2 April 2020 melibatkan 670,118 responden yang terdiri daripada ibu bapa
kepada 893,331 murid. "Enam peratus murid mempunyai komputer peribadi (PC); 9.3 peratus memiliki komputer riba; 5.8 peratus (tablet) dan 46.5 peratus (telefon pintar)," kata beliau yang menjawab soalan dalam Sidang Dewan Rakyat pada Julai tahun lalu.

Tambahnya, terdapat juga murid yang memiliki lebih daripada satu peranti bagi kegunaan
pembelajaran secara dalam talian. "Namun, terdapat 36.9 peratus murid tidak mempunyai sebarang peranti bagi membolehkan mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian," jelasnya menurut laporan Harian Metro, 22 Julai 2020.

Lagi satu persoalan, apa yang KPM lakukan kepada 36.9 peratus murid ini? Jika ia masih
tidak ditangani, sudah pasti 36.9 peratus ini akan keciciran dan kita bakal kehilangan lebih sepertiga generasi masa depan yang terdidik yang boleh menyumbang untuk negara. Kedengaran dalam Belanjawan 2021 bahawa sebanyak 150,000 komputer riba akan disediakan untuk pelajar sekolah dalam kalangan keluarga B40 melalui sumbangan syarikat- syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Sekolah sudah bermula, jangankan komputer riba, bayangnya pun tak kunjung tiba!

Menurut Radzi, pada masa ini TV Pendidikan bersiaran selama 9 jam sehari, iaitu 2 jam di
TV Okey, 4 jam di Astro Tutor TV dan 3 jam di NTV7. "Kami sedar jumlah masa siaran ini adalah masih belum mencukupi dengan mengambil kira keadaan semasa."
KPM perlu bertindak pantas melakukan sesuatu, bukan sekadar menerbitkan rancangan TV Pendidikan di TV konvensional yang beberapa jam sahaja, ditambah pula dengan siaran pendidikan di saluran Astro yang tidak semua mampu melanggannya.

Saranan saya, sudah sampai masanya TV Pendidikan wajib mempunyai saluran sendiri
dengan rancangan-rancangan yang merangkumi silibus sekolah rendah dan menengah,
agar pelajar di luar bandar dapat meneruskan pembelajaran mereka, sekali gus kadar
keciciran dapat dikurangkan dengan drastik. Bagi ibu bapa yang miskin tegar dan tidak mempunyai televisyen, wajarlah pihak kerajaan, swasta atau NGO yang berkemampuan mengenal pasti golongan ini dan menyumbang sebuah televisyen bagi setiap keluarga demi kesinambungan dan kelangsungan pembelajaran anak-anak mereka.

Saranan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM),
Profesor Dr Omar Yaakob agar KPM menggunakan pendekatan menggalakkan seboleh-
bolehnya PdP secara bersemuka dengan SOP yang ketat juga wajar dipertimbangkan.
"Pengajaran dan pembelajaran melalui dalam talian dan juga melalui TV tidak boleh
menggantikan kaedah interaksi bersemuka antara guru dan murid, terutama bagi peringkat sekolah rendah dan menengah," jelasnya.

Beliau juga mengambil maklum laporan yang menyebut bahawa kaji selidik NUTP
mendapati 93 peratus guru memilih kaedah proses PdP secara bersemuka. Beliau menggariskan beberapa langkah inovatif bagi memastikan proses PdP tetap dapat
dilaksanakan dengan selamat iaitu penggiliran PdP bersemuka dan dalam talian,
pendekatan berbeza bagi kawasan yang berbeza, pengajaran fleksibel (flexible teaching)
mengikut kemampuan murid, mengubah suai masa instruksional untuk memenuhi keperluan pembelajaran, dan meningkatkan kesedaran ibu bapa untuk berperanan lebih aktif dalam aktiviti pembelajaran anak-anak.

KPM mesti proaktif melaksanakan tindakan yang sewajarnya bagi menangani keperluan
mendesak dalam pembelajaran sekolah pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh
negara. Kadar keciciran pelajar dalam pembelajaran mesti dikurangkan kerana mereka adalah aset negara dan generasi pencorak masa depan. Walau apa pun yang berlaku, pendidikan mesti nombor satu!

Mohammad Hafizuddin Abdul Mukti
Jabatan Penerangan dan Perhubungan
Pertubuhan IKRAM Malaysia

1 Komen

  1. Setuju. Apa apa pun pendidikan harus no 1. Bukan dari segi bajet shj tp tumpuan khusus oleh gomen melaksanakan agenda perubahan. Sebelum ni tindakan tidak menyeluruh. Cth. Promosi Industrial 4.0 sebelum ini hanya tumpu kepada industri sedangkan teknologi ini boleh diguna pakai utk semua aspek operasi kerajaan.
    Pembangunan infra IT seperti akses 4G dan 5G juga amat perlahan kerana aspek ini dijadikan modal promosi menteri drpd jd aspek pemangkin perubahan sosio-ekonomi negara.

Comments are closed.