Home Dunia Aktivis Ahmed Mansoor dipenjara dalam sel 2×2 meter sejak empat tahun

Aktivis Ahmed Mansoor dipenjara dalam sel 2×2 meter sejak empat tahun

Ahmed Mansoor. foto Agensi

NEW YORK – Human Rights Watch (HRW) mendakwa aktivis hak asasi Emiriah Arab Bersatu (UAE), Ahmed Mansoor sudah empat tahun dipenjarakan di dalam sel yang sangat sempit tanpa tilam.

Kumpulan hak asasi global mendakwa Ahmed seorang jurutera elektrik berusia 51 tahun, terpaksa tidur di lantai tanpa katil atau bantal di sel yang berukuran hanya 2 x 2 meter sejak Disember 2017.

Malah dia telah menghabiskan hukuman itu secara bersendirian di sebuah penjara gurun.

Memetik sumber yang mengetahui tentang keadaan Ahmed, serta wawancara dengan dua bekas tahanan yang ditahan di sampingnya, HRW mendakwa ketika Ahmed dibenarkan masuk ke tempat bersenam atau ke klinik penjara, semua tahanan lain akan diasingkan terlebih dahulu.

Ini bermakna Ahmed menjalani pengasingan hukuman secara total.

Laporan baharu itu juga menjelaskan mengenai perbicaraan tertutup ke atas Ahmed untuk pertama kalinya, menunjukkan dia tidak berjaya melakukan protes terhadap tindakan ditahan secara bersendirian dan ditolak hak asas seorang banduan termasuk akses panggilan telefon dan lawatan keluarga.

Namun pihak berkuasa UAE telah berulang kali menolak dakwaan layanan buruk itu sebagai “tidak berasas”, dengan dalam satu kenyataan tahun lalu menyifatkan laporan NGO tersebut disebarkan “untuk memutarbelitkan dan memalsukan fakta berdasarkan agenda tertentu mereka” .

Pada tahun 2019, pihak berkuasa UAE juga menolak tuduhan pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bahawa Ahmed mungkin diseksa.

“Perincian baharu yang memalukan, menunjukkan betapa kejamnya UAE memperlakukan Ahmed Mansoor sedemikian rupa, aktivis hak asasi manusia yang paling terkenal, seorang lelaki yang berani menentang pemerintahnya yang menyalahgunakan kuasa, menuntut menghormati hak asasi manusia ketika ramai yang tidak berani menyuarakannya,” kata Michael Page, Timbalan pengarah HRW Timur Tengah

Ahmed, yang juga seorang penyair, adalah antara lima aktivis yang disabitkan kerana menghina pemerintah UAE pada tahun 2011.

Mereka diampuni pada tahun yang sama tetapi Mansoor dikenakan larangan perjalanan.

Dalam laporan pada Mei 2019, pakar hak asasi manusia PBB mengatakan Ahmed telah dikurung dalam keadaan “penahanan yang melanggar piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

UAE telah mengalami tekanan untuk meningkatkan rekod hak asasi manusia dan melakukan lebih banyak perkara untuk mengelakkan lebih bantak korban awam dalam kempen udara terhadap pemberontak Houthi yang disokong oleh Iran dalam perang di Yaman. – MalaysiaGazette