Home Nasional Masalah capaian Internet di lapan kampung ditangani SKMM

Masalah capaian Internet di lapan kampung ditangani SKMM

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah turun padang dan mengambil pendekatan proaktif dalam menangani isu capaian Internet yang dihadapi oleh para penduduk di beberapa lokasi di seluruh negara.

Lokasi-lokasi tersebut ialah Kg. Banggol Pak Esah di Pasir Puteh dan Kg. Siram, Kedai Tanjong, di Pasir Mas; Kg. Aring 5 Gua Musang; Kg. Kaum Asli Kemidak, di Bekok, Segamat; Pulau Aman; Kg. Labi di Beaufort; Kg. Panikuan di Kudat serta Kg. Waluhu
di Ranau.

SKMM berkata, bagi masalah capaian Internet yang dihadapi oleh penduduk setempat dan para pelajar sekolah khususnya di Kg. Banggol Pak Esah, SKMM telah menghubungi Telekom Malaysia Berhad (TM) untuk melaksanakan kerja-kerja penyambungan talian tetap Unifi ke rumah pengadu.

Untuk penyelesaian jangka panjang bagi kawasan tersebut, sebuah menara telekomunikasi di Kg. Batu Selinsing akan dinaik taraf kepada teknologi 4G di bawah Projek Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Katanya, kesukaran siswi kembar yang berhadapan dengan capaian Internet yang tidak stabil di Kg. Siram, Kedai Tanjong, Pasir Mas berjaya diselesaikan selepas pihak TM telah memasang talian Unifi di rumah pengadu.

Masalah ketiadaan capaian Internet dan pemilikan peranti yang dihadapi oleh anak-anak Orang Asli di Kampung Aring 5, Gua Musang sedang ditangani.

Katanya, setakat ini, tinjauan telah dilakukan di lokasi berkenaan dan tindakan menguji kekuatan isyarat setiap telcos dijalankan.
Untuk pelan jangka panjang pula, kawasan ini akan dibina sebuah menara baharu di bawah projek JENDELA (PPS).

Bagi sekumpulan pelajar sekolah dan mahasiswa di Kg. Kaum Asli Kemidak, Bekok, Segamat yang terpaksa mengikuti pembelajaran dalam talian di kebun sawit pula, masalah capaian Internet lemah bakal diatasi apabila sebuah menara telekomunikasi baharu akan dibina di kawasan terbabit.

Menara telekomunikasi baharu berkenaan akan dilaksanakan di bawah Pelan JENDELA Fasa 1 yang kini dalam proses tender.

SKMM berkata, kisah sebahagian para pelajar sekolah yang terpaksa merayau sekitar pulau untuk mendapatkan capaian Internet di Pulau Aman telah diambil tindakan.

Sebagai langkah sementara, pihak Celcom telah mengalihkan satu sektor antena di menara telekomunikasi Bukit Batu Kawan untuk menghala ke kawasan aduan bagi meningkatkan kualiti liputan di sana.

Manaka untuk langkah penyelesaian jangka panjang pula, pembinaan sebuah menara baharu akan dicadangkan dalam pelan JENDELA akan datang dan permohonan oleh pihak penyedia perkhidmatan agar tabung Pemberian Perkhidmatan Sejagat atau PPS digunakan untuk membina menara baharu di kawasan PPS sedia ada sedang dipertimbangkan.

Masalah capaian Internet yang dihadapi oleh tiga beradik di Kg. Labi, Beaufort yang terpaksa mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di atas sampan, bakal diatasi apabila sebuah menara baharu akan dibina di Kg. Sungkadan dan pembinaan menara ini akan dilaksanakan di bawah pelan JENDELA.

Dengan adanya menara baharu itu, para penduduk berpeluang untuk menikmati perkhidmatan 4G tidak lama lagi.

Dalam pada itu, para penduduk di Kg. Panikuan, Kudat akan turut menikmati perkhidmatan 4G setelah menara PPS di kampung tersebut siap dan beroperasi.

SKMM berkata, kini, kerja-kerja pemasangan peralatan radio sedang dijalankan oleh pihak U Mobile.

Bagi seorang ibu dan tiga orang anak yang menghadapi kesukaran mendapatkan capaian Internet, mereka telah dimaklumkan untuk memanfaatkan kemudahan Pusat Internet Komuniti (PIK) Kg. Lawa, Kabajang yang hanya terletak lebih kurang 1.67
kilometer dari Kg. Labi.

Sementara itu, kisah sekumpulan pelajar di Kampung Waluhu, Ranau yang terpaksa meredah hutan dan berdepan risiko binatang buas semata-mata untuk mendapatkan capaian Internet tidak terlepas daripada perhatian SKMM.

Untuk itu, sebuah menara baharu akan dibina di Kg. Singgaron Baru di bawah perancangan JENDELA yang mana menara berkenaan akan dibina pada lokasi yang bersesuaian bagi memberikan liputan lebih baik kepada Kg. Singgaron Baru dan Kg. Waluhu.

Para penduduk di sana juga boleh memanfaatkan kemudahan yang disediakan di PIK Kg. Bongkud. – MalaysiaGazette