Home Seni Hidup Covid-19: Pengalaman di Wad 32 PKKN Sungai Buloh

Covid-19: Pengalaman di Wad 32 PKKN Sungai Buloh

Pesakit Covid-19 yang menerima rawatan di Wad 32, Pusat Kawalan Kusta Negara, Sungai Buloh.

Pagi 15 Januari 2021..ketika sedang demam panas, batuk dan sesak nafas, sempat hati berbunga bangga apabila Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mengulang siar mini dokumentari Dari ICU Ke Liang Lahad di Facebook beliau.

Namun siapa menyangka, pada jam 6.30 petang pada hari yang sama saya menerima keputusan ujian saringan Covid-19 yang dilakukan di tempat kerja.

Keputusan saya bersama seorang lagi rakan sepejabat adalah positif.

Saya tidak mahu bercerita panjang mengenai kronologi kes, cukuplah saya katakan, selepas empat hari berseorangan di rumah menghadapi demam panas, menggigil, batuk yang teruk serta sesak nafas, saya sendiri membuat panggilan kecemasan ke 999 kira-kira jam 9.30 pagi pada 16 Januari 2021 kerana sesak nafas yang semakin teruk.

Ujian ultrasound sebaik tiba di Hospital Sungai Buloh mendapati paru-paru saya telah mula mendapat jangkitan.

Syukurlah keadaan tidak terlalu teruk, saya masih boleh bernafas sendiri walaupun dalam keadaan sukar dan sakit.

Selepas menunggu lebih tiga jam di kawasan PUI, Hospital Sungai Buloh, akhirnya bersama-sama beberapa pesakit Covid-19 lain dipindahkan ke Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) yang mana masih di bawah pentadbiran Hospital Sungai Buloh.

Pemandangan daripada Katil 04, Wad 32, Pusat Kawalan Kusta Negara, Sungai Buloh, Selangor.

Meskipun PKKN adalah sebuah hospital lama namun kawasannya bersih dan nyaman.

Keadaan wad juga bersih, teratur dan selesa. Makanan diberikan sebanyak empat kali sehari iaitu sarapan, makan tengahari, minum petang dan makan malam.

Jika tidak berselera dengan makanan hospital, boleh sahaja membuat tempahan melalui Grabfood atau Pandafood.

Katil dan peralatan yang disinfeksi selepas pesakit keluar, Pusat Kawalan Kusta Negara, Sungai Buloh, Selangor

Sepanjang sembilan hari di Wad 32 PKKN, jujur saya katakan, ingatan terhadap mati tidak pernah padam.

Apatah lagi apabila simptom datang bagaikan serangan tanpa amaran.

Sedang elok bercerita tentang drama Korea dengan teman sebelah, tiba-tiba demam panas 40 celsius menyerang. Terus terlantar di katil.

Atau mungkin sahaja sedang seronok membuat tempahan makanan di Grabfood bersama rakan-rakan satu wad, tiba-tiba diserang batuk kuat sehingga dada terasa mahu pecah dan kahak berdarah.

Ketika itu, hidup dan mati bagai terpisah dengan sehelai kain nipis sahaja.

Hari ketiga di wad, emosi saya sudah terganggu.

Seawal subuh saya menelefon bonda kerana sudah tidak mampu mengawal diri sendiri.

Segala logik dan rasional sudah tidak mampu difikir oleh minda sendiri.

Persoalan-persoalan apakah saya akan mati keseorangan akibat Covid-19 tanpa sempat bertemu bonda buat kali terakhir, apa akan terjadi sekiranya keadaan paru-paru saya semakin teruk sentiasa bermain di fikiran.

Ditenangkan dan diberi nasihat oleh bonda, saya redha dengan ketentuan ilahi. Setiap penyakit ada ubatnya, pesan bonda.

Ditambah pula dengan panggilan daripada Dr. Nursakinah HanisĀ  pada tengahari itu memaklumkan ujian darah C-reactive protein (CRP) semakin baik berbanding ketika mula-mula dimasukkan ke wad meskipun belum mencapai tahap yang membolehkan saya discaj.

Saya menjadi semakin tenang dan bersemangat.

Tempat penulis melakukan senaman ringan dan mendapatkan cahaya matahari pada setiap pagi sepanjang berada di Pusat Kawalan Kusta Negara, Sungai Buloh, Selangor

Katanya, apa yang perlu saya lakukan adalah terus minum air dengan banyak dan jangan tinggalkan waktu makan walaupun ketika itu deria rasa dan bau sudah lama hilang bersama-sama selera makan.

Minum air hampir lima liter tetapi air kencing tetap keruh dan kuning tetapi saya tidak mengalah, teruskan sahaja makan dan minum kerana saya percaya, Allah ciptakan air sebagai penawar supaya tiada komplikasi yang lebih teruk dan badan pula akan kuat melawan virus Covid-19.

Saya dibenarkan discaj pada 24 Januari 2021 iaitu hari ke-14 jika dikira daripada simptom pertama muncul.

Ketika ini badan sudah mula sihat, cuma masih ada sedikit batuk dan mengah ketika berjalan dan membuat kerja.

Kini, selepas lima hari pulang ke rumah dan memulakan semula tugas, tiada satu pun kenangan semasa menjadi pesakit Covid-19 boleh saya lupakan.

Meskipun hanyalah pesakit tahap 3 dan tidak perlu diintubasi mahupun mendapatkan rawatan di ICU, namun trauma yang dialami sepanjang 14 hari itu masih bermain-main di fikiran. Serik!

Cukuplah sekali, saya tidak mahu dijangkiti lagi dan saya sentiasa berdoa supaya tiada lagi orang dijangkiti virus pembunuh ini.

Tetapi sembilan hari di Wad 32 PKKN bukan hanya diisi dengan kesakitan dan trauma semata-mata.

Melihat kepada petugas kesihatan yang kami hanya mampu panggil ‘Cik’ kerana tidak tahu yang mana satu doktor dan yang mana satu jururawat bertungkus-lumus memberi perkhidmatan terbaik, amat menginsafkan.

Jangan ditanya siapa nama mereka kerana saya tidak sempat berkenalan. Muka pun saya tidak kenal kerana ditutupi PPE.

Semua ujian, rawatan dan proses ambil darah dibuat dengan cepat, malah saya diajar latihan pernafasan ketika sedang diambil darah. Dua dalam satu!

Meskipun perlu bekerja dalam keadaan pantas, biarpun scrub yang dipakai lencun dan kaca mata berwap akibat peluh, tidak sekali pun cabaran itu menjadi penghalang untuk kesemua petugas kesihatan itu memberikan perkhidmatan mereka dengan cemerlang.

Dengan ceria, bersopan dan lemah lembut, tidak pernah sekali suara dinaikkan atau nada bosan kedengaran ketika merawat kami.

Sedangkan mereka bertugas siang dan malam dengan memakai PPE penuh.

Malah, ketika kali pertama dilakukan x-ray, saya menjalani ujian tersebut pada jam 10 malam dan ketika dihantar semula ke wad pada kira-kira setengah jam kemudian, ambulans masih lagi mengangkut pesakit-pesakit ke bilik x-ray.

Bersama Makcik Fatimah ketika sama-sama didiscaj pada 24 Januari 2021.

Pujian juga harus diberikan kepada pesakit-pesakit di Wad 32 PKKN kerana memudahkan urusan petugas kesihatan yang sudah dimaklumi sibuk.

Apabila nampak sahaja jururawat menolak mesin EKG dan peralatan lain untuk memeriksa vital, mereka telah bersedia di kerusi menunggu giliran tanpa perlu disuruh.

Saling bertanya khabar di antara satu sama lain dan sekiranya ada rakan yang mengalami sesak nafas atau demam panas, mereka segera menelefon jururawat supaya rawatan dapat diberikan dengan segera.

Sama-sama bantu-membantu kerana kami semua senasib dan mahu segera sembuh.

Akhir sekali, saya berdoa supaya keadaan kembali seperti biasa tidak lama lagi kerana kita sudah terlalu lama menderita akibat virus ini.

Ada anak yang tidak pulang ke kampung kerana bimbang orang tuanya dijangkiti, pekerja yang hilang pekerjaan, peniaga yang hilang pendapatan serta tidak dilupakan petugas barisan hadapan yang berkhidmat tanpa rehat sejak setahun yang lalu.

Cukuplah.. kita telah lama menderita. -MalaysiaGazette

 

 

2 Komen

  1. I feel you. Nurse2 yg handle patient Covid ni semua baik2 belaka. Tak tahu kenapa tp mmg sgt mesra.

Comments are closed.