Home Nasional Undang-undang anti-rasuah perlu diperketatkan – ABIM

Undang-undang anti-rasuah perlu diperketatkan – ABIM

Muhammad Faisal Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat laporan indeks persepsi rasuah (CPI) 2020 yang dikeluarkan oleh Transparency-International (TI).

Laporan ini menyatakan bahawa kedudukan Malaysia telah merosot enam anak tangga iaitu berada di tempat ke-57 berbanding 51 pada tahun 2019.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, rasuah adalah isu nasional yang harus ditangani seluruh rakyat Malaysia kerana ia adalah barah yang akan menghancurkan potensi negara ini untuk maju pada masa akan datang.

Lantaran dampak yang perlu sama-sama di atasinya, semua pihak perlu sama-sama duduk semeja untuk menghasilkan solusi menyeluruh untuk menangani gejala rasuah ini daripada terus mengakar.

Solusi ini meliputi mengusulkan penambaikkan undang-undang anti-rasuah dan proses penguatkuasaan yang lebih ketat, tambah beliau.

”ABIM menegaskan pertubuhan masyarakat madani ataupun NGO sebelum ini cuba mengetengahkan reformasi institusi termasuk mencadangkan rang undang-undang (RUU) Pembiayaan Politik dan pindaan terhadap Akta Rahsia Rasmi supaya dapat mewujudkan ketelusan masih belum diterima secara menyeluruh.

”Justeru, sudah tiba masanya untuk seluruh rakyat Malaysia serta suara-suara pertubuhan masyarakat madani ataupun NGO sama-sama mengembleng satu gerakan pendesak yang kuat bagi memastikan usaha reformasi dan penambahbaikan untuk membasmi gejala rasuah ini dapat direalisasikan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tanggungjawab ini juga perlu sama-sama dilaksanakan kelompok agamawan daripada pelbagai latar belakang agama kerana mereka ada pengaruh tersendiri untuk menjayakan kempen desakan ini.

Menurutnya, dalam menanggapi isu ini, ABIM komited untuk menyatukan seluruh rakyat meliputi segenap segmen masyarakat untuk bersama membina kesepakatan membanteras gejala ini bagi melahirkan satu Bangsa Malaysia yang bermaruah.

Melihat ke hadapan, katanya, ABIM optimistik satu “BangsaMalaysia” yang disatukan dengan nilai dan watak yang bersih, berintegriti dan bermaruah pasti akan dapat dilahirkan jika sama-sama serius berperanan sebagai suara pendesak untuk memastikan perubahan yang kita inginkan dapat direalisasikan untuk kebaikan negara pada masa akan datang.- MalaysiaGazette