KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia memulakan penyiasatan kajian semula pentadbiran duti anti-lambakan ke atas pengimportan gegelung keluli yang dipracat, dicat atau disalut warna (dagangan subjek) yang berasal atau dieksport dari China dan Vietnam selepas menerima petisyen daripada CSC Steel Sdn. Bhd.
Pempetisyen mendakwa dagangan subjek yang berasal atau dieksport dari China dan Vietnam telah dilambakkan ke Malaysia pada harga yang lebih rendah daripada yang dijual di pasaran domestik di negara tersebut.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, pempetisyen mendakwa lambakan import dari kedua-dua negara itu telah meningkat dari segi jumlah kuantiti dan telah mengakibatkan kemudaratan material kepada industri tempatan.
Kerajaan telah mempertimbangkan bukti-bukti lambakan, kemudaratan serta hubungkait di antara kedua-duanya dan memutuskan untuk memulakan penyiasatan kajian semula pentadbiran duti anti-lambakan ke atas import dagangan subjeki dari negara-negara berkenaan.
Selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan, 1993 dan peraturan yang berkaitan, suatu penentuan akhir akan dibuat dalam tempoh 180 hari dari tarikh permulaan penyiasatan ini.
Sekiranya penentuan akhir didapati afirmatif, maka kerajaan akan mengenakan duti anti-lambakan mengikut kadar yang ditetapkan untuk menghalang kemudaratan yang berterusan.
Sehubungan itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengedarkan borang soal selidik kepada pihak berkepentingan (pengimport, pengeluar/pengeksport asing dan persatuan-persatuan).
Pihak-pihak lain yang berkepentingan juga boleh mendapatkan borang soal selidik tersebut selewatlewatnya pada 5 Februari 2021.
Pihak berkepentingan juga boleh memberi pandangan dan bukti tambahan bagi menyokong siasatan ini secara bertulis kepada MITI selewat-lewatnya pada atau sebelum 12 Februari 2021.
Sekiranya tiada maklumat tambahan diterima dalam tempoh yang ditetapkan, pihak kerajaan boleh membuat penentuan akhir berdasarkan fakta yang sedia ada.
Maklumat lanjut mengenai penyiasatan ini boleh didapati dengan memohon secara
bertulis kepada:
Pengarah
Seksyen Amalan Perdagangan
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Aras 9, Menara MITI
No. 7, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah
50480 Kuala Lumpur
MALAYSIA – MalaysiaGazette