Home Nasional MAFI cadang cili tempatan dijual sepenuhnya di pasar

MAFI cadang cili tempatan dijual sepenuhnya di pasar

Seorang peniaga menyusun cili dan sayur-sayuran untuk dijual kepada pelanggan semasa tinjauan lensa MalaysiaGazette di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 14 JUN 2018
Gambar Hiasan

JASIN – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bercadang untuk menetapkan cili tempatan dijual sepenuhnya di pasaran bagi memenuhi keperluan pengguna manakala cili yang diimport digunakan bagi penghasilan produk seperti sos.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, langkah itu bagi meningkatkan keupayaan dan menjaga kepentingan petani cili tempatan serta pengguna dari segi harga.

Beliau berkata, ketika ini pengeluaran cili dalam negara adalah sebanyak 60 peratus manakala selebihnya diimport dari negara seperti Thailand.

“Kemasukan cili yang diimport itu perlu dikawal supaya cili keluaran tempatan tidak menjadi lambakan menyebabkan harganya jatuh.

“Ketika ini kami melihat lebih ramai petani terutamanya generasi muda yang berminat menceburi bidang ini, oleh itu mekanisme ini diharap dapat menggalakkan penghasilan cili tempatan sehingga mampu memenuhi 100 peratus keperluan dalam negara,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ahli Parlimen Jasin di sini, hari ini.

Ahmad berkata, harga cili di pasaran menunjukkan penurunan sejak kebelakangan ini dan MAFI turut bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan harga cili serta sayur-sayuran di pasaran adalah stabil selain bekalannya mencukupi untuk pengguna.

Beliau berkata, peningkatan harga sayur-sayuran disebabkan beberapa faktor dan halangan seperti penghantaran yang perlahan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain musim tengkujuh.

Katanya, banjir yang berlaku di pantai timur menyebabkan kawasan tanaman ditenggelami air menyebabkannya rosak dan hasil tidak dapat dituai.

“Kenaikan harga sayur-sayuran ini juga adalah berdasarkan kepada bekalan dan permintaan, jika permintaan tinggi harganya turut meningkat, namun kami bersama KPDNHEP turut memantau perkara ini supaya tidak membebankan pengguna,” katanya. – Bernama