Home Dunia Letupan berhampiran kedutaan Israel di New Delhi

Letupan berhampiran kedutaan Israel di New Delhi

NEW DELHI – Satu letupan kecil berlaku berhampiran kedutaan Israel di New Delhi disebabkan oleh ‘peralatan berintensiti rendah’, kata jurucakap polis sambil menambah tiada kecederaan dilaporkan.

Letupan tersebut merosakkan tingkap kereta, kata jurucakap polis Delhi dalam satu kenyataan seperti dipetik Reuters.

“Kesan awal mencadangkan satu percubaaan nakal untuk mewujudkan sensasi,” kata kenyataan tersebut.

“Satu letupan berlaku berhampiran kedutaan Israel di India. Tiada korban dalam letupan itu dan tiada kerosakan bangunan,” kata Kementerian Luar Israel dalam satu kenyataan.

“Insiden tersebut sedang disiasat oleh pihak berkuasa India, yang berhubung dengan pihak berkuasa Israel,”.

Letupan berlaku kira-kira jam 10.30 waktu tempatan ketika Presiden India, Ram Nath Kovind dan Perdana Menteri, Narendra Modi menghadiri majlis tentera yang terletak beberapa kilometer daripada lokasi letupan.

Seorang saksi Reuters berkata, polis menutup lokasi letupan.

Pada 2012, satu letupan berhampiran kedutaan itu mencederakan isteri diplomat Israel, pemandunya dan dua individu lagi. – MalaysiaGazette